FGV terima rayuan Wan Azizah, dua yang lain
Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dikatakan menerima rayuan presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua yang lain berhubung ganti rugi sebanyak RM2 juta kerana memfitnah.
Bagaimanapun, pendirian Felda sebagai plaintif bersama dalam saman berkenan masih tidak dapat dipastikan walaupun peguam Wan Azizah, Francis Pereira memberitahu Malaysiakini bahawa Felda juga akan berbuat demikian.
"Jika Felda dan FGV mengakui rayuan kami, Wan Azizah dan dua yang lain tidak perlu membayar ganti rugi RM2 juta itu.
"Wan Azizah dan bekas timbalan presiden Syed Husin Ali dan Suara Keadilan telah membayar ganti rugi RM70,000 yang sebelum ini diperintahkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi," katanya.
Sementara itu, peguam Felda dan FGV, Datuk Mohd Hafarizam Harun juga mengesahkan bahawa kedua-dua agensi itu mungkin menerima rayuan berkenaan.
"Arahan kami adalah tidak menentang rayuan Wan Azizah dan dua orang lain dan mengekalkan keputusan awal untuk membayar ganti rugi RM70,000," katanya kepada Malaysiakini.
Pada 5 Disember lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Wan Azizah, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan wartawan Rusnizam Mahat membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan FGV atas dua artikel fitnah yang disiarkan dalam akhbar PKR, Suara Keadilan.
Saman fitnah itu difailkan terhadap dua artikel yang diterbitkan pada tahun 2010, berjudul "Felda Bankrap" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu".
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada mulanya menetapkan ganti rugi sebanyak RM70,000, namun Hakim Su Geok Yiam mengarahkan ia dinaikkan kepada RM2 juta kerana mendapati jumlah awal yang diberikan terlalu rendah.
Bayaran ganti rugi RM2 juta itu dikatakan antara tertinggi dalam saman fitnah di negara ini selain kes membabitkan taikun Vincent Tan dan wartawan MGG Pillai pada tahun 2007.
Wan Azizah dan dua yang lain memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada akhir Disember lalu.
Pereira berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 23 Julai.

