Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Saifuddin Nasution, dua era bersama Dr Mahathir
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 3:45 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Pernah bersama Umno ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail kini sekali lagi bersama perdana menteri dalam Pakatan Harapan, sekali gus diberi kepercayaan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Saifuddin Nasution, 55, pernah menjawat jawatan dalam Pemuda Umno sebelum mula menyertai PKR pada 1999 sebagai Naib Pengerusi PKR Bahagian Padang Serai serta Anggota Majlis Tertinggi parti itu.

Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada November 1999, Saifuddin bertanding atas tiket PKR di kerusi Parlimen Padang Serai, namun tewas kepada Lim Bee Kau (BN) sebelum tewas sekali lagi pada tangan Lim dalam PRU11.

Beliau juga tewas ketika menentang Syed Razak Syed Zain (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan pada PRU10.

Bagaimanapun pada PRU12, beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Machang, Kelantan atas tiket PKR menewaskan Sazmi Miah (BN-Umno).

Saifuddin kemudian kembali ke Kedah untuk bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada PRU13, namun tewas pula kepada Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN).

Setiausaha Agung PKR itu kemudiannya berjaya merampas kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila menewaskan penyandang, Abdul Aziz dan calon PAS, Abdul Hassan Razak dengan majoriti 4,860 pada PRU14, 9 Mei lalu.

Pemegang Sarjana Sains (Agronomi) daripada Universiti Putra Malaysia itu juga menang kerusi DUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang dalam saingan empat penjuru dengan Yim Boon Leong (MU), Mohd Farhan Yusri (PAS) dan Oh Tong Keong (BN) dengan majoriti 10,716 undi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS