Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pulangkan segera wang Japerun Durian Tunggal'

Anggota Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab mendesak mana-mana pihak yang melakukan pengeluaran terhadap dua akaun di bawah kelolaan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) kawasan itu supaya memulangkan kembali wang itu.

Mohd Sofi, yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, berkata tindakan itu perlu segera dilakukan berikutan wang yang disimpan di dalam akaun berkenaan adalah milik rakyat negeri ini.

“Akaun di bawah nama Tabung Kebajikan Khas Japerun Durian Tunggal itu pada asalnya masing-masing mempunyai baki sebanyak RM10,104.15 bagi akaun pertama dan RM318.16 bagi akaun kedua.

“Namun kita dapati ada pengeluaran wang berlaku selepas pertukaran kerajaan baharu berdasarkan penyata akaun semasa yang diterima bertarikh 31 Mei lepas sehingga menyebabkan baki kedua-dua akaun terbabit kini hanya RM10.60,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Beliau berkata laporan polis berhubung kehilangan wang di kedua-dua akaun terbabit di samping komputer dan telefon di pejabat Japerun dibuat pada 28 Jun lepas di Balai Polis Durian Tunggal .

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kehilangan wang di kedua-dua akaun terbabit dan kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka untuk siasatan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS