Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petronas: Semua sumber petroleum M'sia miliknya

Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas menegaskan ia mempunyai pemilikan eksklusif terhadap sumber petroleum di Malaysia dan merupakan pengawal selia tunggal bagi sektor huluan di negara ini.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman itu dibuat sebagai responsnya terhadap kenyataan berkaitan industri minyak dan gas yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 1 Julai, 2018.

Dilaporkan bahawa kerajaan negeri itu berhasrat untuk menjalankan kuasanya mengikut undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak, termasuk Ordinan Pengedaran Gas 2016, yang berkuat kuasa 1 Julai, 2018.

“Peraturan di bawah ordinan berkaitan pelesenan telah diluluskan kerajaan negeri dan proses pelaksanaannya akan bermula serta-merta,” demikian menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak itu.

Pada masa hadapan, Petronas berkata, dalam melaksanakan tanggungjawabnya, ia akan memantau dengan rapat isu tersebut termasuk mendapatkan pandangan dan bimbingan daripada kerajaan yang merupakan pemegang saham tunggal syarikat itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS