Paling Popular
Terkini

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyambut baik langkah kerajaan Pakatan Harapan menstrukturkan semula pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan menyifatkannya seiring dengan manifesto parti seperti yang digariskan dalam Buku Harapan.

Penyelaras Demokrasi dan Tadbir Urus Ideas Aira Azhari berharap penyusunan semula dan pembubaran agensi tertentu di bawah JPM akan menyaksikan pengurusan yang lebih baik memandangkan ada sesetengahnya yang mempunyai peranan tidak jelas.

“Sejak beberapa tahun lalu, JPM telah menjadi institusi besar dengan peranan samar-samar dan tiada kebertanggungjawaban yang membebankan kewangan kerajaan.

"Pemindahan agensi kepada kementerian yang lebih relevan bermakna mereka akan diuruskan oleh menteri-menteri yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan isu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pindaan Perkara 145 Perlembagaan

Menurut laporan media tempatan, lapan agensi di bawah JPM akan beroperasi secara bebas hari ini dan akan melapor terus kepada Parlimen antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pejabat Pendakwa Raya dan Jabatan Audit Negara.

Laporan itu juga menyebut 10 jabatan dan agensi termasuk 19 divisyen atau pejabat di bawah JPM dibubarkan.

Aira yang turut menyambut baik inisiatif kerajaan memindahkan fungsi-fungsi pendakwaan di bawah Pejabat Peguam Negara ke Pejabat Pendakwa Raya bagaimanapun berkata perubahan itu tidak akan membawa sebarang makna tanpa pindaan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur jenayah.

Ideas juga mengucapkan tahniah kepada menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang baru dilantik serta mengangkat sumpah jawatan hari ini dan berkata barisan jemaah menteri kali ini menampilkan lebih banyak kepelbagaian dari segi gender dan kaum.

- Bernama

Lihat Komen
ADS