Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'YB macam tua sedikit, panggil saya bro Saddiq'

Menteri penuh termuda Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini secara rasmi memulakan tugasnya di Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam ucapan sulungnya kepada kakitangan kementerian itu, beliau meminta mereka tidak memanggilnya sebagai 'yang berhormat' tetapi 'bro Saddiq'.

"Hari ini panggil saya 'bro Saddiq', YB (yang berhormat) macam tua sedikit," kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Syed Saddiq berkata beliau mahu menerapkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia dan memulakannya dengan mengajak kakitangan kementerian untuk joging bersama-samanya.

"Setiap pagi kita (boleh) jogging bersama-sama sekitar Putrajaya, jika tidak selepas waktu kerja 5.30 petang," katanya disambut sorakan kakitangan yang menyambut ketibaannya.

Beliau tiba dengan kemeja putih ringkas tanpa kot serta stoking dengan logo Superman, menyerlahkan lagi usianya itu.

Ketua Pemuda BERSATU itu melakar sejarah apabila menjadi menteri penuh termuda di Malaysia, memadam rekod Datuk Seri Najib Razak yang menjadi menteri belia dan sukan ketika berusia 33 tahun.

Menyentuh topik lebih serius, Syed Saddiq menggesa kakitangan kementerian itu agar tidak melayan mana-mana pihak yang menggunakan kedudukan dalam parti Pakatan Harapan untuk mendapatkan sesuatu daripada mereka.

"Jika ada pihak yang kata mereka dekat dengan saya dan (timbalannya) Steven Sim...beritahu dari parti mana dan minta (sesuatu), kita tak akan terima...Dalam soal integriti dan amanah, kita tidak boleh berkompromi," katanya.

Beliau juga berikrar untuk meneruskan dasar-dasar yang baik dan tidak akan terlalu fokus memburu kesalahan pentadbiran lalu.

"Kita akan teruskan apa yang bagus, apa yang perlu ditambah baik. Bekas menteri Khairy Jamaluddin telah meninggalkan legasi yang baik dan saya ada tugas besar untuk meneruskannya," katanya lagi.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali berkata beliau diberitahu kakitangan daripada kementerian lain turut hadir bagi melihat sendiri kelibat Syed Saddiq.
 

Lihat Komen
ADS