ULASAN | Pengumuman mengenai pelarasan kos mekanisme tidak seimbang (ICPT) akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik kepada rakyat.

Pelarasan ICPT ini akan menyaksikan pengguna bukan domestik (bukan isi rumah, iaitu lazimnya komersil) dikenakan surcaj sebanyak 1.35 sen bagi setiap kWj.

Selain itu, semua penggunaan (tak kira kediaman atau komersil) melebihi 300 kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat yang diberi oleh kerajaan BN sebelum ini.

Rebat ICPT telah dinikmati oleh semua segmen pengguna untuk tempoh lebih tiga tahun di bawah kerajaan BN semenjak pelarasan ICPT ini diperkenalkan pada 2015.

Namun kerajaan Pakatan Harapan HARAPAN yang baru berusia kurang dua bulan bertindak untuk bukan sahaja menamatkan pemberian rebat malah mengenakan surcaj menerusi pelarasan ini.

Ia memberi pelbagai kesan. Pertama, 2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah atau pengguna biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat dan terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya.

Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik.

Jika ada yang mengatakan bahawa 36 peratus ini bukan majoriti isi rumah, perlu diingat bahawa pemberhentian rebat yang diganti dengan impak surcaj 1.35 sen setiap kWj ke atas pengguna bukan domestik (kilang, kedai dan premis perniagaan) bakal meningkatkan kos operasi dan pengeluaran.

Lantas ia menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan dan perkhidmatan mereka.

Inflasi bakal melanda?

Tak cukup dengan soal rebat dan surcaj elektrik, baru-baru ini juga Gas Malaysia Berhad mengumumkan kenaikan tarif asas gas asli sebanyak 77 sen bagi sektor bukan tenaga, yang memberi kesan kepada semua segmen pengguna tidak kira kediaman atau komersil.

Kenaikan tarif asas gas asli dan kenaikan tarif elektrik ini akan memberikan kesan berganda - terhadap kos operasi perniagaan dan juga isi rumah.

Kesan daripada kenaikan berganda ini akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup rakyat kian meningkat.

Segala perkembangan ini berlaku tatkala penurunan kadar GST kepada sifar peratus tidak terbukti berjaya menurunkan harga barang malah terdapat banyak rungutan mengenai kenaikan harga selepas keputusan tersebut dibuat.

Barangkali setelah pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kelak, satu lagi tamparan inflasi bakal melanda rakyat Malaysia.

Persoalan pokoknya, di manakah pelaksanaan manifesto kerajaan HARAPAN ketika PRU-14 lalu yang berjanji untuk meringankan beban hidup rakyat?

Rakyat masih menantikannya.

Maka pemuda Umno ingin mendesak agar kerajaan menangguhkan pelepasan surcaj kepada rakyat dan pemberhentian rebat ini.

Ia bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat yang semuanya tampak berlaku dalam satu tempoh yang pendek.


SHAHRIL HAMDAN ialah naib ketua pemuda Umno.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.