Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mana jadi pilihan - ECRL atau tapak warisan UNESCO?

KATA MP l Kos Projek Laluan Rel Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) sebenarnya memakan belanja RM81 bilion dan ia perlulah dikurangkan secara signifikan agar ia berdaya maju dari segi kewangan.

Kerajaan negeri Selangor telah membantah keras penyiapan landasan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Pihak ECRL juga dijangka tidak mampu menampung kos operasinya. Kos projek RM81 bilion ini tidak termasuk defisit kos operasi, yang tidak dapat ditentukan buat masa kini.

Untuk makluman, Projek ECRL telah diluluskan oleh kabinet pada 21 Oktober 2016. Perjanjian Kejuruteraaan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (Engineering, Procurement, Construction and Commissioning Agreement) kemudiannya telah ditandatangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1 November 2016.

Pada asalnya, projek ini bertujuan untuk membina satu laluan rel dari Terminal Bersepadu Gombak (ITT) di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan dengan harga RM46 bilion.

Pada 13 Mei tahun lalu, pentadbiran terdahulu menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk melaksanakan fasa ke-2 projek tersebut yang akan memperluaskan landasan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang dengan nilai projek sejumlah RM9 bilion.

Sebelum itu pada 3 Mei tahun lalu, kabinet telah meluluskan projek untuk menyambung landasan rel utara dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor bernilai RM1.28 bilion.

Kabinet kemudiannya pada 23 Ogos tahun lalu, meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan RM10.5 bilion.

Oleh itu, berdasarkan nilai-nilai harga projek di atas, kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 km adalah berjumlah RM66.78 bilion. Perincian kos adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah:

Walau bagaimanapun, jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain seperti dalam Jadual 2 di bawah:

Sehingga kini, Kerajaan Malaysia, menerusi anak syarikat operasi miliknya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), telah membayar CCCC sejumlah RM19.68 bilion. Jumlah RM19.68 bilion ini terdiri daripada (i) bayaran pendahuluan sebanyakRM10.02 bilion dan ( ii) bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion.
*anggaran bundaran

Walau bagaimanapun, bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion bersandarkan bon pendahuluan dengan jumlah yang sama. Bon bayaran pendahuluan ini boleh ditebus oleh MRL untuk mendapatkan semula RM10.02 bilion tersebut.

Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka kerajaan persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar.

Berdasarkan fakta dan angka di atas serta kajian kebolehlaksanaan projek, kami menjangkakan bahawa projek ECRL hanya akan menjadi berdaya maju daripada segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh CCCC.

Manakala, perbincangan kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut.

Kerajaan persekutuan juga menyedari terdapat tentangan hebat oleh kerajaan negeri Selangor terhadap projek ECRL, terutamanya berkenaan dengan landasan rel dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang.

Mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, kerajaan persekutuan dikehendaki berunding dengan kerajaan negeri sebelum melaksanakan mana-mana projek persekutuan di negeri yang berkenaan.

Bantahan kerajaan negeri Selangor ini adalah berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuartza yang terpanjang di dunia.

Penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang ini tentu akan menggagalkan usaha kerajaan negeri Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Hanya apabila terdapat pengurangan harga yang signifikan, barulah kerajaan persekutuan boleh berbincang dengan kerajaan negeri Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL ini berbanding dengan kebarangkalian penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO.


LIM GUAN ENG adalah Menteri Kewangan, setiausaha agung DAP dan ahli parlimen Bagan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS