Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi pemimpin, akar umbi Umno desak Mas Ermieyati letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 1:16 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Penyokong dan akar umbi Umno di bahagian Masjid Tanah, Melaka, malam semalam menandatangani memorandum mendesak bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkuatkuasa serta-merta.

Mereka terdiri daripada lebih 200 ahli jawatankuasa Umno daripada 64 cawangan Umno di bahagian Masjid Tanah yang membabitkan seluruh kepemimpinan di peringkat bahagian dan cawangan Umno, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Menurut portal Berita Harian Online, tindakan itu dibuat selepas mesyuarat tertutup selama lebih sejam yang dipengerusikan Ketua Umno bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ia juga melaporkan kelantangan dan kemarahan suara di peringkat akar umbi memuncak, termasuk mendesak supaya bekas ketua puteri Umno itu segera meletak jawatan susulan kenyataan dibuatnya untuk keluar parti,berkuatkuasa 1 Julai lalu.

"Umno bahagian Masjid Tanah atas dasar prinsip, keadilan dan perjuangan memohon supaya Yang Berhormat (YB) Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang sudah menjadi wakil rakyat Bebas untuk tidak mengkhianati mandat diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Ia terutama kepada petugas pilihan Raya Barisan Nasional (BN), penyokong dan pengundi yang membawa kepada kemenangan YB di kawasan Parlimen Masjid Tanah," menurut memorandum berkenaan.

Menurut portal itu lagi, memorandum turut menyebut, Umno bahagian berkenaan berasa kecewa dan terkejut dengan tindakan Mas Ermieyati yang jelas menipu pengundi selepas memberikan kemenangan besar kepadanya, termasuk di semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen itu.

"Justeru, dengan rasa tanggungjawab dan demi keadilan kepada pengundi dan petugas parti adalah lebih bermakna YB Mas Ermieyati meletak jawatan segera dan membiarkan pengundi di P134 membuat keputusan sama ada mereka mahu seorang wakil rakyat Bebas atau daripada Umno yang mewakili BN.

"Barisan kepemimpinan Umno bahagian Masjid Tanah sebulat suara menolak YB Mas Ermieyati supaya tidak duduk di parlimen bersidang mewakili Parlimen Masjid Tanah," kata kenyataan itu.

Sementara itu, bekas Exco Pergerakan Wanita Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin juga mendesak Mas Ermieyati supaya melepaskan jawatannya memandangkan kemenangan beliau adalah atas tiket Umno dan Bn.

Katanya, Mas Ermieyati tidak seharusnya lupa bahawa beliau diangkat menjadi wakil rakyat hasil kerja keras dan pengorbanan ahli-ahli parti.

Ujarnya, jangan menjadikan pemilihan parti baru-baru ini sebagai alasan untuk keluar parti sedangkan Wanita Umno tahu tindakan itu sudah lama dirancang.

“Kami semua kecewa terutamanya ahli Puteri yang mengangkat beliau sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, jawatan yang telah memberikan beliau segala-galanya.

“Beliau pernah mengatakan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, ‘You Never Walk Alone’ namun belum sampai setahun apabila sudah diuji dengan kejatuhan dan kekalahan beliau memilih untuk berpaling tadah,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS