MCA hari ini melabelkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak meneruskan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen setiap kilowat per jam (kWj) berkuat kuasa kelmarin, sebagai ‘menikam belakang’ rakyat.

Naib Presiden MCA, Datin Chew Mei Fun berkata, ini memandangkan HARAPAN sebelum ini berjanji mahu mengurangkan kos hidup rakyat dan penamatan rebat itu bererti peningkatan harga elektrik di negara ini walaupun ia hanya membabitkan sektor komersial sahaja.

“Ini merupakan tindakan tikam belakang yang jelas oleh kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini bersungguh-sungguh berjanji mahu mengatasi isu peningkatan kos hidup rakyat.

“Banyak perkara di bawah Janji 100 Hari mereka telah ditangguhkan termasuk melalui keputusan pusingan U.

“Ini sekali gus menunjukkan kebanyakan janji mereka sebelum pilihan raya adalah tidak praktikal dan populis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berkuat kuasa 1 Julai lalu, pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak RM1.52 sen setiap kWj dan pada masa yang sama, perlu membayar surcaj Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.35 sen setiap kWj.

Sementara itu, pengguna domestik atau isi rumah melebihi 300 kWj tidak lagi menikmati rebat RM1.52 sen setiap kWj.