Cerita Yudi - tukang gunting rambut Jamal di Jakarta
Tukang gunting di Jakarta, Indonesia dilaporkan terkejut apabila dimaklumkan lelaki yang selesai menggunting rambut di kedainya adalah ahli politik buruan dari Malaysia.
Lelaki dikenali sebagai Yudi yang berkhidmat di Alexandro Barber itu berkata dia pada mulanya tidak syak langsung ada perkara yang tidak kena dengan pelanggannya itu.
Malah, katanya, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos bersikap bersahaja dan tidak menunjukkan sebarang kerisauan.
"Ketika dia (Jamal) masuk, saya tahu dia orang dari Malaysia berdasarkan tutur katanya yang mahu menggunting rambut, tetapi tidak tahu pula dia dikehendaki polis.
"Saya cuma tahu dia dikehendaki polis apabila sekumpulan lelaki berpakaian biasa menahannya di hadapan kedai sejurus selesai menggunting rambut," beliau dipetik sebagai berkata oleh BH Online.
Jamal, pemimpin gerakan Baju Merah dan bekas pemimpin akar umbi Umno itu ditangkap polis Indinesia petang semalam dan akan dihantar pulang ke negara ini.
Jamal, 48, sebelum ini melarikan diri dari sebuah hospital di Ampang selepas didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.
Jamal mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya di hospital.
Polis mengeluarkan waran tangkap mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

