Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Switzerland rampas kereta mewah milik suspek skandal 1MDB
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 2:00 PM
Dikemaskini: Jul 4, 2018 2:32 AM

Pihak berkuasa Switzerland dilaporkan telah merampas sejumlah kereta mewah milik bekas pengurus dana warga UAE Khadem al-Qubaisi yang didakwa memainkan peranan utama dalam menyelewengkan dana 1MDB.

Menurut laporan akhbar Switzerland Le Temps, sumber berkata Khadem memiliki koleksi 50 buah kereta dengan jangkaan nilai keseluruhan 50 juta francs, atau RM203 juta.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyatakan jumlah kereta yang dirampas.

Menurut laporan itu, semua kereta dalam koleksi Khadem didaftar di Switzerland merangkumi pelbagai model langka kereta mewah termasuk Pagani dan Bugatti yang mampu mencecah harga RM10 juta sebuah.

Kira-kira sedozen buah keretanya disimpan di Switzerland dan 30 buah di sekitar Eropah.

Laporan itu bagaimanapun menyatakan tidak jelas sebanyak mana wang 1MDB digunakan untuk memperolehi kereta tersebut.

Bagaimanapun sumber itu dipetik berkata, kerajaan Switzerland merampas kereta itu kerana mengesyaki ia hasil daripada penipuan, atau sebagai aset timbang balas bagi membayar denda atau pampasan kerugian yang ditanggung 1MDB pada masa depan.

Khadem merupakan bekas pengarah urusan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengerusi subsidiarinya Aabar Investment.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam saman sivilnya mendakwa sejumlah A$1.4 bilion milik 1MDB yang sepatutnya disalurkan kepada IPIC telah dipindahkan ke syarikat cengkerang (shell company) luar pesisir yang dikawal Khadem.

Dana yang diselewengkan itu kemudian didakwa dibahagi antara Khadem, ahli perniagaan Jho Low dan individu lain.

Pada 2015, Khadem disingkirkan daripada Aabar dan dipenjara di Abu Dhabi setahun kemudian tanpa dakwaan. Dia didakwa dalam siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Switzerland.

Lihat Komen
ADS