Paling Popular
Terkini

PAS melihat barisan menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad "seimbang" namun tidak mencukupi syarat untuk memuaskan hati parti berkenaan.

Alasannya, menurut Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan yang disusun oleh perdana menteri ketujuh itu mempunyai sedikit kekurangan.

Kata timbalan presiden PAS itu kekurangan yang dimaksudkan melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diamanahkan mengeloka hal ehwal agama.

"Secara keseluruhannya kita lihat agak seimbang, cuma kekurangannya dari segi bidang-bidang agama.

"Yang pegang posisi menteri agama pun bukan daripada (latar belakang) bidang agama," katanya kepada media ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kota Bharu, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian diminta mengulas mengenai susunan jemaah menteri yang kini hampir lengkap.

Semalam seramai 13 menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Lantikan itu menjadikan kabinet Malaysia kini mempunyai 26 menteri secara keseluruhan.

Rakyat nak melihat

Dua daripada menteri yang dilantik semalam ialah bekas pemimin kanan PAS yang disingkirkan pewakilan parti itu pada 2015, iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof dan Khalid Samad.

Khalid diberikan portfolio Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Mujahid menteri di JPM yang mengelola hal berkaitan Islam.

Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, pula dilantik menjadi timbalan Mujahid.

Untuk rekod Mujahid juga anak kepada bekas Yang Dipertua PAS Allahyarham Yusof Abdullah Rawa.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan jemaah menteri yang mengangkat sumpah semalam Tuan Ibrahim menjelaskan PAS bersedia memberi masa untuk melihat prestasi menteri terbabit.

"Bagaimanapun itu tidak menjadi masalah, kita perlukan masa kerana saya ingat masih terlalu awal untuk memberi komen.

"Rakyat pun akan menanti untuk melihat sejauh mana kemampuan menteri terutama sekali dalam menunaikan janji HARAPAN," katanya.

Lihat Komen
ADS