Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatan kabinet: Pemuda BERSATU - DAP pula bercakaran
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 4:06 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Pemuda BERSATU Selangor mahu Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Wong Kah Woh memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kabinet serta semua parti komponen Pakatan Harapan.

Ini berhubung dakwaan Wong bahawa Dr Mahathir mengketepikan senarai DAP dalam pelantikan menteri kabinet .

Ketua Pemuda BERSATU, Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata adalah hak prerogatif Dr Mahathir untuk melantik menteri kabinet setelah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, beliau berkata Wong sepatutnya lebih bijak dalam mengeluarkan kenyataan
dan menyatakan ketidakpuashatian beliau melalui saluran dalaman.

“Pemuda BERSATU Selangor mendesak agar Wong meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir, seluruh jemaah menteri serta parti komponen HARAPAN lain di atas sikap tidak matang yang ditonjolkannya tidak sampai 100 hari pun HARAPAN memerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong semalam menyelar Dr Mahathir yang didakwa tidak mengendahkan senarai calon menteri yang dikemukakan oleh DAP.

Katanya, tindakan pengerusi BERSATU yang tidak melantik Pengerusi DAP Perak, Naga Kor Ming dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen sebagai menteri kabinet amat tidak patut dan tidak menghormati cadangan pimpinan parti itu.

Beliau juga mempertikaikan bahawa barisan kabinet HARAPAN tidak mencerminkan kerusi yang dimenangi oleh DAP yang mempunyai bilangan ahli parlimen kedua tertinggi selepas PKR.

Mengulas lanjut, Adhif berkata Wong cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan bahawa Dr Mahathir mengambilkira suara ahli komponen lain, khususnya DAP.

“Sedangkan jelas bahawa lantikan tersebut adil dan dibuat mengikut perkiraan keputusan PRU yang lepas dengan DAP mendapat jumlah lantikan kedua terbanyak selepas PKR.

“Wong yg mengetahui hakikat tersebut tetap cuba mengelirukan rakyat, untuk apa? Adakah Wong sengaja mahu mengundang kemarahan orang ramai khususnya ahli BERSATU?” soalnya.

Adhif berkata BERSATU meraikan perbezaan pendapat tapi tidak akan berkompromi dengan
pendapat yang berniat memecahbelahkan kekeluargaan yang dibina dalam pakatan.

“Pemuda BERSATU Selangor mengajak semua pemuda parti komponen supaya bersama dalam
usaha membina Malaysia baru,” katanya.

Tanpa mengira jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri, DAP diperuntukan enam jawatan kabinet manakala BERSATU mempunyai lima menteri dan PKR pula tujuh.

 

Analisis oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa PKR dan DAP yang menguasai 73.6 peratus daripada kerusi parlimen kerajaan, tetapi hanya diperuntukkan cuma 50 peratus jawatan kabinet.

Jika mengambil kira jumlah anggota parlimen setiap parti komponen, BERSATU dan AMANAH paling tinggi peratusan wakil dalam kedudukan menteri dan timbalan menteri.

 

Lihat Komen
ADS