Noor Jan bebas tuduhan menyamar 'Sultan Melaka'
Seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka, hari ini daripada empat pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai 'Sultan Melaka' pada lima tahun lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan terhadap Noor Jan Tuah, 60, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Noor Jan didakwa menipu empat lelaki berusia 37 hingga 68 tahun dengan jalan samaran supaya mempercayai dirinya sebagai 'Sultan Melaka’ apabila membuat majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai 'Sultan Melaka'.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama iaitu di A' Famosa Resort dekat Melaka, kira-kira pukul 10 malam pada 28 Dis 2013.
Noor Jan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
Enam belas orang saksi dipanggil dalam perbicaraan yang dijalankan sejak 21 Dis 2016.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka Azhar Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azman Abdul Aziz.
- Bernama

