Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais Yatim: Tukang yang paling senang, tukang caci

Barisan anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan janji dalam manifesto pilihan raya dan mengelak daripada menyalahkan kerajaan sebelum ini, kata Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno itu yang kini menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata dengan cara ini mereka dapat memberi tumpuan yang seimbang kepada setiap portfolio dalam sesebuah kementerian yang diterajui mereka.

“Tukang yang paling senang ialah tukang caci, jangan salahkan kerajaan terdahulu sebaliknya fokus untuk menunaikan janji dalam manifesto dan membangunkan kehidupan rakyat.

"Saya luahkan ini atas prinsip kerajaan sekarang menggalakkan (rakyat supaya) berani menegur, kalau dulu saya menegur, saya dibuang daripada Umno, kini saya harap saya tidak dibuang mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Harga barangan harian

Rais berkata walaupun setakat ini kerajaan HARAPAN telah berjaya melaksanakan beberapa manifesto seperti penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), siasatan ke atas penyelewengan wang negara oleh pimpinan terdahulu dan penamatan dua tol namun masih ada manifesto penting yang belum dilaksanakan.

“Saya melihat usaha untuk menurunkan harga barangan harian tidak lagi difokus sedangkan ia masih menjadi masalah besar pada rakyat.

Begitu juga dengan penurunan harga minyak yang saya kira jika berjaya dilaksanakan, ia akan menambah keyakinan rakyat kepada kerajaan HARAPAN,” kata Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga berkata kadar tarif elektrik yang dinaikkan baru-baru ini perlu dikaji semula kerana di sebalik keuntungan yang diumum oleh beberapa syarikat seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kenaikan tersebut adalah tidak wajar.

Sambil menyifatkan barisan kabinet mempunyai kepakaran (bakat) yang cukup, Rais berharap agar warisan dan budaya terus disuburkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Budaya masih gabung dengan pelancongan

“Seperti yang lalu, budaya masih lagi digabung bersama pelancongan, tetapi saya harap ia tidak hanya fokus pada pelancongan sahaja, fokus sama juga harus diberikan dalam usaha menyuburkan semula budaya rakyat Malaysia seperti budaya antirasuah, budaya tidak mengambil hak orang lain, budaya bersih, menepati masa dan budi bahasa,” katanya.

Beliau juga memberi cadangan agar Kementerian Kewangan mencari formula untuk merasionalkan setiap bayaran cukai rakyat sebagai contoh cukai jalan yang dibayar oleh 19 juta pemilik kenderaan setiap tahun.

“Bagaimana untuk rasionalkan pembayaran ini, mungkin dengan penutupan tol setiap tahun (dalam tempoh tertentu) supaya pembayaran cukai ini boleh dirasionalkan dan memberi faedah kepada pembayarnya,” kata Rais.

Semalam, 13 menteri lagi dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Sebelum ini, 13 orang menteri yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Mei lepas susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Dr Mahathir berkata tiga lagi menteri akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan kabinetnya kepada 29 orang menteri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS