Azmin serah pada SPR umum PRK Sg Kandis
Pakatan Harapan (HARAPAN) masih belum berbincang tentang kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei semalam, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata pihaknya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu sebelum sebarang perbincangan dibuat tentang pengganti Mat Shuhaimi.
"Kita serahkan kepada SPR untuk mengumumkan bila PRK akan diadakan, kemudian baru PKR dan HARAPAN berbincang serta membuat persediaan PRK itu.
“Malam tadi, ada mesyuarat biro politik (PKR), namun isu ini tidak dibincangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Silaturahim Aidilfitri anjuran Invest Selangor Berhad di Shah Alam, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris.
Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.
Mohamed Azmin yang juga pengerusi PH Selangor berkata adalah penting bagi semua pihak pada masa ini memberikan ruang kepada keluarga Mat Shuhaimi untuk reda dengan pemergian Allahyarham.
Ditanya mengapa PKR meletakkan Mat Shuhaimi sebagai calon DUN Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Umum ke-14 meskipun beliau menghadapi masalah kesihatan, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata pihaknya menjangkakan Allahyarham akan dapat pulih sepenuhnya daripada rawatan yang diterima beberapa bulan sebelum pilihan raya itu.
- Bernama

