TPM ke Mongolia untuk lawatan pertama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkunjung ke Mongolia dalam lawatan sulungnya ke luar negara sebagai timbalan perdana menteri Malaysia bagi menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR).
Dr Wan Azizah yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan yang dihadiri lebih 3,000 peserta daripada negara Asia Pasifik, akan mewakili Malaysia bagi menyampaikan kenyataan Malaysia berhubung dengan inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran negara berkaitan pengurangan risiko bencana.
Duta Malaysia ke China yang ditauliahkan serentak ke Mongolia Datuk Zainuddin Yahya berkata timbalan perdana menteri mempunyai jadual padat terutamanya pada Rabu bersempena persidangan itu dengan menghadiri tiga mesyuarat penting persidangan, selain menerima kunjungan hormat daripada tokoh-tokoh penting di luar persidangan itu.
Dr Wan Azizah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, tiba di ibu negara Mongolia hari ini (Selasa pada kira-kira 7 malam waktu Mongolia) sehingga Khamis bagi persidangan itu.
"Kami bukan sahaja berkongsi (kepakaran) tetapi kami juga belajar,” kata Zainuddin kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Dr Wan Azizah itu, di ibu negara Mongolia pada Selasa.
Beliau berkata AMCDRR adalah platform bagi membincangkan mekanisme serantau dalam menangani isu berkaitan pengurangan risiko bencana di rantau Asia dan Pasifik.
Selain sesi Kenyataan Menteri, Dr Wan Azizah juga akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Asia bersama-sama negara yang pernah menjadi tuan rumah AMCDRR dan menyampaikan ucap tama berkaitan agenda pembangunan mampan “Coherence on 2030 Agenda for Sustainable Development Goal” dalam sesi teknikal.
Dr Wan Azizah akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana Mami Mizutori.
Dr Wan Azizah juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), Vongthep Arthakaivalvatee; Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) Adelina Kamal; Pengerusi Kumpulan Penasihat Saintifik dan Teknologi (STAG) UNISDR Prof Rajib Shaw dan Exco Program Pembangunan dan Operasi Mercy Malaysia Norazam Samah.
"Perhimpunan ini membolehkan berkongsi maklumat, pengalaman dan bertukar-tukar pendapat serta perancangan negara ke arah pengurangan dan pengurusan risiko bencana,”kata Zainuddin.
Beliau berkata Malaysia akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan banjir kilat pada persidangan tersebut.
Zainuddin berkata Malaysia juga boleh mempelajari daripada negara lain tentang teknologi berkaitan tebatan banjir, aspek daya tahan rakyat ketika berhadapan dengan bencana dan pembiayaan risiko.
Penganjuran AMCDRR kali ke-8 di Mongolia itu dihoskan bersama oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNISDR) dan kerajaan Mongolia dengan tema “Mencegah Risiko Bencana: Melindungi Pembangunan Mampan”.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah AMCDRR pada 2008.
Zainuddin berkata komitmen pemimpin negara yang menghadiri AMCDRR di Mongolia itu akan diterjemahkan melalui Deklarasi Ulaanbaatar dan Pelan Tindakan Serantau 2018-2020.
- Bernama

