Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin dedah bertemu Najib dan Rosmah
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 10:06 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Bekas ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan bahawa beliau telah bertemu dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Khairuddin, yang telah membuat beberapa laporan mengenai 1MDB dengan pihak berkuasa tempatan dan luar negara, berkata pertemuan itu berlangsung dua hari selepas kekalahan BN yang dipimpin Najib dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

"Walaupun dulu saya dianiayai oleh mereka selepas bertindak ke atas kes skandal 1MDB namun; di saat ini saya tidak pernah berdendam pada Najib Tun Razak mahupun sesiapa saja yang terlibat untuk menzalimi saya.

"Sebab itu, pada hari Jumaat setelah dua hari BN dan Umno kalah dalam PRU14; saya secara peribadi mengunjungi Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor dari jam 4 petang sehingga 5 petang di kediaman peribadi mereka di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Khairuddin, bersama peguam Matthias Chang, ditangkap dan ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012 selepas mereka membuat laporan ke pelbagai pihak berkuasa mengenai dakwaan penggubahan dana 1MDB.

'Sindrom penafian'

Mereka kemudian dibebaskan selepas berjaya mencabar penahanan mereka di mahkamah.

"Cuma saya mohon Najib Tun Razak mengaku setiap kesalahan-kesalahan beliau serta beri jaminan untuk pulangkan semula kepada rakyat dan negara keseluruhan wang-wang yang telah mereka curi.

"Setiap hasil rompakan ke atas khazanah kerajaan dan duit rakyat wajib dikembalikan.

"Apa yang menyedihkan saya sehingga kini Najib Tun Razak masih hidup dalam sindrom penafian. Beliau tetap menafikan seolah-olah tidak pernah mencuri khazanah kerajaan dan duit rakyat walaupun satu sen," katanya.

Najib ditangkap hari ini berhubung transaksi berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk manfaat peribadi.

Khairuddin berkata beliau berdoa semoga Najib menginsafi perbuatannya.

Lihat Komen
ADS