Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS belum boleh buat hudud, T'ganu laksana hukum takzir'
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 11:09 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Kerajaan Terengganu tidak dapat melaksanakan undang-undang hudud namun kerajaan akan mengaplikasikan hukuman takzir yang menjadi sebahagian daripada Enakmen Hudud, Qisas dan Takzir lulus pada 2002, kata exco negeri Satiful Bahari Mamat, lapor media tempatan.

Menurut Satiful Bahari, PAS tidak dapat melaksanakan hukum hudud kerana ia memerlukan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) diluluskan di parlimen.

"Kerajaan Pas Terengganu tidak boleh melaksanakan hukum hudud sehinggalah Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) dibahas dan diluluskan Parlimen ekoran kekangan pemisahan bidang kuasa di bawah kerajaan Pusat dan negeri," lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, Satiful Bahari Mamat yang memegang portfolio Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri berkata penekanan hukum takzir itu lebih ke arah mendidik, bukan menghukum.

Islam tak galak hukum penjara

“Bila kita wujudkan portfolio pelaksanaan syariah, bermula tahun depan kita akan ada bajet untuk laksanakannya.

"Ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa tapi keutamaannya adalah mendidik melalui dakwah, kempen untuk kesedaran masyarakat,” katanya, dipetik Sinar Harian.

Laporan itu juga memetik beliau berkata kerajaan Terengganu akan menambah baik beberapa perkara bagi memperkasakan pelaksanaan syariah di negeri itu.

“Kita juga dalam usaha mewujudkan pusat seperti rehabilitasi melibatkan akhlak kerana sebahagian umat Islam tidak sesuai dipenjara kerana jenayah syariah, mungkin kita akan meneliti kewujudan pusat-pusat seperti ini ke arah membimbing mereka,” katanya.

Satiful Bahri dipetik sebagai berkata, Islam tidak menggalakkan hukuman penjara sebaliknya lebih menekankan kepada khidmat masyarakat kerana melakukan kerja-kerja sosial menjadikan pesalah lebih bertanggungjawab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS