Malaysiakini
BERITA

Mayat bayi lelaki ditemui dalam peti sejuk

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Jul 2018, 12:22 pagi

Seorang bayi lelaki berusia lima bulan, yang dilaporkan hilang selepas dikatakan dilarikan individu tidak dikenali, ditemui mati di dalam rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves, lewat malam tadi.

Mangsa, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah itu kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata ketika ditemui mangsa berada dalam sebuah beg berwarna hijau dengan berpakaian lengkap serta dibalut kain napkin.

"Penemuan mangsa berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengasuh itu selepas proses rakaman percakapan yang dilakukan terhadap suspek dicurigai.

"Bagaimanapun, pemeriksaan awal anggota badan mangsa tidak menemui sebarang kecederan dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita.

Ali berkata pihaknya menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, dilaporkan Adam Rayqal telah dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini.

Perkara itu disedari apabila ibunya, Farah Madiha Othman, 28, ingin menjemputnya pulang kira-kira 7 malam tadi.

Menurut pengasuh itu, Adam Rayqal yang baharu seminggu dihantar ke rumah pengasuh itu telah diambil oleh bapa mangsa.

Kehilangan Adam Rayqal tular dalam laman sosial Facebook apabila bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, memuat naik gambar mangsa dengan meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.