PKR membawa mesej 'Sarawak Baru' ke bumi kenyalang
WAWANCARA | Menteri Kerja Raya yang baru - Baru Bian - sedang mempersiapkan diri untuk membawa mesej "Sarawak Baru" ke bumi kenyalang itu ekoran kejayaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei.
Bercakap kepada Malaysiakini selepas istiadat angkat sumpah di Istana Negara semalam, Ahli Parlimen Selangau itu menegaskan:
"Mesej saya sangat, sangat mudah dan jelas. Kemenangan yang kami capai (di Sarawak) dengan 10 kerusi dan dua dari calon Bebas adalah luar biasa. Kami menyasarkan 10 tetapi dapat 12.
"Ini bermakna jika kita bersedia untuk turun ke peringkat akar umbi dan membawa mesej untuk 'Sarawak Baru', saya fikir akan ada hasilnya," kata Baru.
Rakyat Sarawak, katanya, digalakkan untuk membawa mesej tersebut kembali ke rumah mereka, terutama kepada ibu bapa dan keluarga mereka di kawasan luar bandar.
Dalam PRU14, BN Sarawak mampu mempertahankan hanya 19 kerusi parlimen manakala HARAPAN memperoleh 12 kerusi, meningkat daripada enam kerui yang dimenanginya pada 2013.
Pada PRU13, PKR Sarawak hanya berjaya memenangi kerusi tunggal di Miri tetapi memperoleh lima kerusi tambahan dalam PRU14 selepas membuat kemunculan hebat di kawasan luar bandar.
Manakala DAP Sarawak hanya berjaya mampu menang satu kerusi dari BN - Mas Gading.
"Dengan tenaga semacam itu, saya yakin impian yang kita inginkan untuk Sarawak baru akan direalisasikan," kata Baru ketika ditanya mengenai mesejnya kepada rakyat Sarawak menjelang pilihan raya negeri pada 2021.
Berikutan prestasi buruk mereka, BN Sarawak mengumumkan pembubarannya pada bulan Jun, dengan parti komponen PBB, SUPP, PRS dan PDP membentuk gabungan mereka sendiri yang dipanggil Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bekas parti gabungan BN yang diketuai oleh PBB telah memimpin kerajaan negeri sejak pembentukan Malaysia 55 tahun lalu. Apabila BN dibentuk untuk mengambil alih Perikatan, PBB menyertainya bersama dengan parti-parti Sarawak lain di peringkat negeri dan dengan Umno di peringkat persekutuan.
Yang Dipertua Negeri Sarawak sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud adalah ketua menteri paling lama berkhidmat di negara ini, selama 33 tahun sehingga bersara 2014.
PKR intai kerusi luar bandar
Dengan kurang daripada tiga tahun menjelang pilihan raya negeri Sarawak 2021, Baru berkata, PKR perlu meningkatkan kehadirannya di lebih banyak kawasan luar bandar.
Pada pilihan raya negeri 2016, BN negeri menang selesa, dengan memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
"Misi kami sangat jelas. Kami mahu memenangi sebanyak mungkin kerusi di di kawasan luar bandar Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang.
"Kita mesti sedar bahawa kerajaan negeri tidak pernah berubah sejak 55 tahun lepas sejak pembentukan Malaysia. Tetapi jika kerajaan persekutuan boleh berubah, begitu jugalah dengan kerajaan negeri, " kata Baru ketika ditanya mengenai misi partinya.
Kuasa demokrasi di tangan rakyat Sarawak akan memberi mereka keyakinan untuk berubah, tegasnya.
"Kami telah membincangkan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat Sarawak dan isu tanah seperti NCR (Hak Tanah Adat Bumiputera), yang sangat penting kepada penduduk pribumi.
"Kerajaan negeri masih di bawah BN, tetapi sekarang mereka menyebut diri mereka sebagai GPS. Apakah perbezaannya? Bagi kami, tidak ada perbezaan; BN atau GPS, mereka semua sama saja," tambah Baru.

