Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding Dolar AS
Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar US pada sesi awal hari ini berikutan kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu menjelang cuti umum negara tersebut.
Pada jam 9 pagi, ringgit berada di paras 4.0450/0500 berbanding dolar US daripada 4.0470/0500 pada Selasa.
Seorang peniaga berkata dolar US susut ketika para peniaga mengukuhkan kedudukan masing-masing bagi dagangan sebelum cuti umum hari kemerdekaan negara tersebut.
"Sentimen pasaran turut meningkat sedikit selepas pihak People’s Bank of China mengambil langkah untuk meredakan pasaran tukaran asing susulan kejatuhan renminbi di bawah paras utama psikologi, apabila menyatakan bahawa yuan akan kembali stabil,” katanya.
Menurutnya, penahanan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan skandal Malaysia Development Bhd (1MDB), juga dijangka memberi kesan kepada pergerakan ringgit khususnya reaksi daripada kalangan pelabur luar pesisir.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9642/9694 daripada 2.9618/9649 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6653/6708 daripada 3.6479/6513 pada Selasa.
Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3406/3480 berbanding 5.3315/3371 dan susut berbanding euro pada 4.7185/7259 daripada 4.7156/7207.
- Bernama

