Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana (DRR) ke dalam agenda pembangunannya bagi melindungi pelaburan masa depan di negara itu, satu persidangan mengenai DRR diberitahu pada Rabu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) berkata, kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, dirasai di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Berkongsi pengalaman Malaysia semasa menyampaikan kenyataan Menteri pada AMCDRR, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pada tahun-tahun kebelakangan ini, pendedahan Malaysia terhadap pelbagai bencana berkaitan iklim seperti banjir, banjir kilat, tanah runtuh dan angin kencang telah meningkat, sebahagiannya disebabkan perubahan iklim.

“Sumber yang cukup banyak telah disediakan untuk mengurangkan faktor-faktor risiko yang mendasari dan mempromosikan pembangunan mampan dalam pelan pembangunan utama negara – ‘Rancangan Malaysia Lima Tahun’,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, meliputi tempoh 2016 hingga 2020, usaha berkaitan tebatan banjir akan terus dipertingkatkan, dengan mengambil kira kekuatan dan kekerapan kejadian cuaca yang melampau, menerusi pengenalan penyelesaian yang inovatif, katanya.

Dr Wan Azizah juga memberitahu ACMDRR bahawa Malaysia telah menubuhkan Panel Sains dan Teknikal mengenai DRR bagi menyediakan panduan saintifik berkaitan pengurusan risiko bencana untuk pertimbangan dasar, dan untuk memberikan input berasaskan bukti bagi menyokong aktiviti operasi Platform Nasional untuk Pengurangan Risiko Bencana.

“Pengurangan risiko bencana akan berjaya dengan penerapan sains dan teknologi yang berkesan untuk menyokong proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga telah membangunkan Rancangan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk DRR bagi menangani jurang pengetahuan secara menyeluruh dan sistematik mengenai bahaya semasa dan baru muncul di negara itu, termasuk mengambil pendekatan bersepadu untuk pengurangan risiko bencana dan penyesuaian perubahan iklim, bagi memastikan pembangunan mampan.

“Pelaksanaan Rancangan itu, yang kini sedang menunggu pengesahan oleh kerajaan, memerlukan komitmen daripada banyak pihak berkepentingan,” katanya.

Dr Wan Azizah menegaskan bahawa menangani cabaran bahaya gempa bumi juga amat penting di Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membangunkan Malaysian Standard (MS), untuk semua pembangunan masa depan di Malaysia bagi memastikan bangunan-bangunan adalah tahan kepada gempa bumi dan disokong oleh Peta Bahaya Gempa Bumi Kebangsaan bagi memudahkan pelaburan bermaklumat dalam negara.

Setakat ini, katanya standard ini telah digunakan di kawasan yang mempunyai kecenderungan berlaku gempa bumi di Sabah.

Dr Wan Azizah berkata terdapat beberapa inisiatif kebangsaan yang sedang berjalan di Malaysia untuk memajukan pengurangan risiko bencana di peringkat tempatan, dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memimpin usaha untuk membangunkan rangka kerja perundangan kebangsaan bagi pengurangan risiko bencana yang akan berfungsi sebagai payung kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di negara itu.

Beliau juga mendedahkan di ACMDRR bahawa penubuhan platform pelbagai bahaya sedang dijalankan di Kuala Lumpur untuk mengurus dan menyampaikan risiko yang lebih baik dalam meningkatkan daya tahan bencana di bandar berkenaan.

Dalam inisiatif itu, beliau berkata parameter meteorologi seperti taburan hujan, suhu dan kelajuan angin dikurangkan ke tahap bandar itu buat kali pertama di rantau berkenaan, untuk digunakan bagi menilai risiko banjir kilat, tanah runtuh, penenggelaman, angin kencang, pencemaran udara dan pemanasan bandar.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membangunkan Malaysian Standard (MS), untuk semua pembangunan masa depan di Malaysia bagi memastikan bangunan-bangunan adalah tahan kepada gempa bumi dan disokong oleh Peta Bahaya Gempa Bumi Kebangsaan bagi memudahkan pelaburan bermaklumat dalam negara.

Setakat ini, katanya standard ini telah digunakan di kawasan yang mempunyai kecenderungan berlaku gempa bumi di Sabah.

Projek perintis ini akan menghasilkan sistem ramalan pelbagai bahaya di peringkat bandar yang pertama untuk kawasan tropika, katanya.

“Ia juga akan memberikan dorongan kepada inovasi sosial dengan membantu pembangunan rancangan pemulihan bencana peringkat komuniti, memperkasa kumpulan khas termasuk wanita dan belia, untuk mengambil bahagian dalam pengurangan risiko bencana.

“Di samping itu, ia juga akan memberi perhatian kepada perancangan bantuan bencana untuk kebajikan dan keperluan orang kurang upaya, kanak-kanak, warga emas dan wanita,” katanya.

ACMDRR adalah platform untuk membincangkan mekanisme serantau dalam menangani isu mengurangkan risiko bencana di rantau Asia Pasifik. Lebih 3,000 wakil dari negara Asia Pasifik menyertai persidangan tiga hari itu yang bermula semalam (3 Julai, Selasa) di ibu negara Mongolia.

 

-Bernama

Unlocking Article
Unlocking Article
Lihat Komen
ADS