Najib pulang ke Langgak Duta
Selepas bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diheret ke mahkamah, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pulang ke kediamannya petang ini di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Najib dilihat memasuki rumahnya sekitar jam 3.30 petang dengan menaiki Toyota Vellfire tanpa menghiraukan petugas media yang berkumpul sejak awal pagi tadi untuk merakam gambar dan videonya.
Kenderaannya diiringi seorang polis yang menaiki motosikal berkuasa tinggi serta empat kenderaan SUV berwarna hitam dan putih.
Najib hari ini dituduh pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana anak syarikat 1MDB, SRC International di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Dalam pertuduhan yang mendapat perhatian media dalam dan luar negeri itu, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.
Najib dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan pasportnya diperintah diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, beberapa kenderaan juga dilihat memasuki kediaman Najib sekitar jam 3.50 petang dan dipercayai penyokong anggota Parlimen Pekan itu.
Bagaimanapun mereka tidak berada lama di kediaman Najib dan keluar selepas 20 minit.
Media juga sempat bertanyakan bagaimana keadaan Najib kepada salah seorang penyokong yang keluar dengan berjalan kaki ke persimpangan Jalan Langgak Duta kerana meletakkan kenderaannya di bahu jalan berdekatan persimpangan tersebut.
“Najib OK dan sihat,” katanya ringkas dan berlalu pergi.
Sementara itu, kira-kira 20 wartawan berjaga-jaga di persimpangan berhampiran rumah Najib yang dihalang daripada dimasuki dengan garisan polis berwarna kuning sejak jam 8 pagi hari ini.
Cuaca panas terik dan ada ketikanya mendung dan sedikit renyai tidak menghalang wartawan daripada terus berada di sana.
Beberapa anggota polis juga dilihat berjaga di pintu masuk. Bagaimanapun, ia merupakan pemandangan biasa semenjak BN yang dipimpin Najib dikalahkan pada PRU14 bulan lalu.
Namun, apa yang lebih menariknya apabila orang awam dilihat tidak putus-putus cuba untuk memasuki laluan masuk ke kediaman bekas perdana menteri itu.
Tidak kurang juga yang memperlahankan serta menghentikan kenderaan mereka untuk mengambil gambar kediaman Najib meskipun jarak antara rumah dan persimpangan kediaman anggota parlimen Pekan itu sekitar 100 meter.

