Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak Najib bayar ikat jamin
Diterbitkan:  Jul 4, 2018 4:26 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini dibebaskan selepas dijamin oleh dua anaknya yang membayar sebahagian daripada jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Jaminan itu dibayar oleh Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib di sebuah bank di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kedua-dua anak Najib itu enggan ditemubual oleh media sejurus mereka keluar dari bank berkenaan.

Semalam, Najib ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2.35 petang.

Hari ini, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.

Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi terhadapnya selepas pertama kali disebut di Mahkamah Sesyen pagi tadi.

Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta dikenakan terhadap Najib dengan dua orang penjamin serta beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik dan pasport awam.

Selain itu mahkamah juga membenarkan bahawa bayaran itu dibuat secara ansuran iaitu dibayar hari ini dan pada Isnin depan.

Bekas perdana menteri itu kemudian meninggalkan perkarangan kompleks mahkamah dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih pada kira-kira jam 3.30 petang.

Lihat Komen
ADS