Keputusan SPRM untuk tidak menggari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan membenarkannya memakai pakaian sendiri ke mahkamah hari ini dialu-alukan oleh Syahredzan Johan, yang adalah setiausaha politik kepada penasihat DAP Lim Kit Siang.

Syahredzan, yang juga adalah seorang peguam, berkata, walaupun layanan itu berbeza dengan individu lain yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa, beliau melihat perkembangan itu secara positif dan berharap ia akan menjadi amalan pihak berkuasa untuk kes-kes lain di masa hadapan.

“Seseorang yang ditahan sewajarnya diberi kebebasan untuk memakai pakaiannya sendiri apabila dibawa ke mahkamah dan bukannya diwajibkan untuk memakai pakaian lokap.

“Pemakaian gari juga tidak sepatutnya menjadi amalan tetap sekiranya individu yang ditahan adalah tidak berbahaya dan tidak akan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib ditangkap oleh SPRM semalam dan ditahan dalam lokap semalaman.

Pagi ini, beliau didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta

Walaupun Syahredzan memuji SPRM, beliau kecewa dengan perintah tutup mulut yang dikenakan ke atas media mengenai kes berkenaan.

Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perintah tutup mulut itu dan diterima oleh hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan kes anak guamnya memandangkan Najib telah menjalani “perbicaraan media” sejak sebelum kesnya didengar di mahkamah.

Shafee juga memohon perintah itu melibatkan penerbitan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan merit kes tersebut.

Mengulas perkara itu, Syahredzan berkata ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara, yang termaktub dalam perlembagaan.

“Pada prinsipnya suatu perintah tutup mulut adalah bertentangan dengan hak untuk bebas bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kes ini adalah suatu kes yang berprofil tinggi dan mendapat perhatian seluruh dunia. Suatu perintah tutup mulut bercanggah dengan kebebasan media dan hanya akan menghukum media tempatan dan bukan media luar negara kerana bidangkuasa mahkamah yang terhad.

“Berkenaan dengan prejudis terhadap Najib sekiranya media melaporkan tentang kes ini, tidak dinafikan bahawa beliau tidak bersalah sehinggalah didapati bersalah oleh mahkamah. Beliau berhak membela diri untuk pertuduhan-pertuduhan terhadapnya,” katanya.