Ashman, anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, petang ini berkongsi rasa syukur kerana bapanya dapat kembali ke pangkuan keluarga hari ini.
Selepas pulang ke rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, tidak jauh dari tempat dituduh di mahkamah hari ini, Ashman berkongsi gambar bapanya bermesra dengan binatang peliharaan mereka.
Masih dalam baju kemeja yang dipakai di mahkamah yang disenteng lengannya, Najib dilihat tersenyum bermesra dengan kucing berwarna jingga dan putih bernama Kiki.
"Alhamdulillah kamu kembali ke rumah bersama keluarga, daddy.
“Kiki rindu pada kamu!" tulisnya di Instagram, dalam bahasa Inggeris.
Ashman juga mengucapkan terima kasih kepada kata-kata perangsang diberikan pada keluarga mereka berdepan detik sukar ini.
"Doa dan dukungan anda membuatkan kami terus bertahan," katanya yang menggunakan tanda pagar #prayfornajib.
Najib pulang ke rumahnya kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas diheret di mahkamah pagi tadi atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Dalam pertuduhan yang mendapat perhatian media dalam dan luar negeri itu, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.
Najib semalam bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah hari ini.
