Paling Popular
Terkini

Media arus perdana dan portal berita menjadi tumpuan netizen dari dalam dan luar negara mengikuti proses pendakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd, hari ini.

Seawal pukul 7.30 pagi, akaun media sosial Facebook, Twitter dan Instagram Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani, Malaysiakini dan beberapa saluran media lain yang memaparkan lintas langsung kes itu dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dihujani pelbagai komen dan reaksi netizen.

Rata-rata netizen dilihat memberi komen menyatakan sokongan kepada bekas pemimpin negara itu, malah tidak kurang juga terdapat golongan muda yang melontarkan komen negatif terhadap bekas presiden Umnoitu berusia 65 tahun itu.

Pengguna Facebook, Shafei Kuale berharap agar Najib diberi peluang untuk membela diri dengan keadilan sewajarnya.

“Moga DSN (Datuk Seri Najib) diberi peluang sepenuhnya menghadapi proses keadilan yang sebenar,” katanya.

Tak pakai baju lokap, tak digari

Sementara itu, ketibaan Najib di mahkamah pada jam 8.17 pagi dengan memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja biru, bertali leher tanpa digari dan tidak berpakaian lokap turut menimbulkan tanda tanya netizen.

Pengguna Facebook, Allan Tan dalam status Facebook Bernama berkata “tiada gari dan baju lokap...harap-harap semua penyokong bekas PM (perdana menteri) sedar bahawa tanda hormat telah diberi,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Kevin Kulandaisamy memberi komen di sebaliknya; “He should be handcuffed. That’s the law. He is no greater than the law” (Dia seharusnya digari. Itulah undang-undang. Dia tidak lebih dari undang-undang).

Kes itu juga turut mendapat perhatian rakyat luar negara yang turut mengikuti perkembangan kes itu dari semasa ke semasa menerusi siaran langsung di media sosial.

Turut tidak ketinggalan, Shirley Yahaya dari Perth, Australia, memuji usaha wartawan Bernama, Syed Iylia Syed Hariz Al Qadri Syed Izman yang melaporkan perkembangan kes dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Thank you for speaking in English. So we can understand what is happening...so much news media and cameramen there,” (Terima kasih kerana bercakap dalam bahasa Inggeris supaya kami boleh faham apa yang sedang berlaku...ramai sekali media dan jurukamera di sana), katanya.

Akaun Facebook Bernama mendapat lebih 254,000 tontonan netizen sehingga pukul 12 tengah hari ini dengan lebih 8,500 komen serta 3,600 perkongsian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS