Paling Popular
Terkini

Anggota parlimen Umno yang keluar daripada parti dicabar supaya meletak jawatan daripada menjadi wakil rakyat sekiranya mereka mempunyai maruah, kata presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, mana-mana wakil rakyat yang umum keluar daripada parti sebelum ini telah menang kerana bertanding atas tiket BN.

Oleh yang demikian, kesemua bekas anggota parlimen BN berkenaan sepatutnya sanggup menghadapi pilihan raya kecil (PRK) jika mereka meletakkan jawatan, kata Ahmad Zahid lagi.

"Kalau anggota parlimen itu bermaruah, mereka hendaklah meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen dan sanggup menghadapi PRK jika diadakan.

"Kita mempunyai pendirian bahawa ahli parlimen Umno yang bertanding atas nama BN bukan perolehi kemenangan atas kapasiti diri sendiri.

"Mereka seharusnya berlapang dada dan terbuka. Bukan melayani masalah peribadi yang dihadapi mereka dan seolah-olah tak yakin dengan Umno.

"Saya tak mahu cakap lebih, mereka tahu apa yang dimaksudkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung pengumuman bekas ketua puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas pada Ahad lalu.

Tindakan Mas itu menjadikan BN mempunyai 51 buah kerusi parlimen selepas anggota parlimen Bukit Gantang dan Bagan Serai, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal serta Datuk Noor Azmi Ghazali turut melakukan tindakan sama sebelum ini.

Lihat Komen
ADS