Paling Popular
Terkini
story images
story images

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada petang ini merupakan mesyuarat terakhir yang dihadiri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Datuk Ab Rauf Yusoh.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia mesyuarat terakhir bagi mereka selaku setiausaha agung serta setiausaha kerja Umno.

Ku Nan bekas menteri wilayah dilantik menjadi setiausaha agung parti itu pada Mac 2008 menggantikan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Manakala itu, presiden Umno juga memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan parti pembangkang yang lain berhubung jawatan ketua pembangkang di Parlimen.

Menurut Zahid, menjadi kebiasaan bagi jawatan berkenaan disandang oleh presiden parti dengan majoriti kerusi di pihak parti pembangkang di Dewan Rakyat.

Ketua pembangkang parlimen

Sehubungan itu, beliau berkata mesyuarat di kalangan anggota parlimen pembangkang akan dibuat bagi menentukan siapa akan menjadi ketua pembangkang.

"Kita akan bincang soal siapa akan jadi ketua pembangkang di parlimen setelah perbincangan dilakukan bersama parti pembangkang yang lain.

"Oleh kerana ketua pembangkang kelazimannya ialah presiden parti pembangkang, maka kita akan adakan mesyuarat di kalangan anggota parlimen pelbagai parti untuk tentukan siapa ketua pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media (gambar) selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara petang ini.

Selain itu, beliau juga mengalu-alukan sekiranya anggota parlimen bebas untuk ikut serta dalam perbincangan berkenaan.

"Jika perlu ahli parlimen bebas yang mahu sertai kumpulan kami, maka perbincangan juga akan diadakan," ujarnya lagi.

Pada sidang media sama, Zahid yang juga anggota parlimen Bagan Datok turut memberitahu, parti itu akan berbincang termasuk parti selain Umno bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bagaimanapun, ketika diajukan soalan sama ada perbincangan berkenaan turut melibatkan PAS, Zahid tidak menjawab soalan berkenaan.

Manifesto pemilihan Umno

"Kita akan bincang bukan hanya dikalangan sesama sendiri tetapi kita akan bincang juga dengan rakan-rakan di luar Umno.

"Kita akan adakan perbincangan dan sebarang keputusan akan diumumkan pada hari yang sesuai," katanya.

Bagi melaksanakan manifesto semasa pemilihan presiden Umno pula, Zahid berkata parti itu akan mewujudkan badan bertindak yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan bagi melaksanakan aku janji berkenaan.

Kesemua manifesto oleh beliau serta calon presiden lain turut akan diambil kira, ujar Zahid lagi.

"Semua keseluruhan 30 aku janji tokoh-tokoh ini akan diteliti dan diperincikan dan kami lantik Datuk Seri Mohamad Hasan untuk wujudkan badan bertindak bagi melihat pelaksanaan semua atau sebahagian aku janji berkenaan," kata Zahid lagi.

Lihat Komen
ADS