Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP S'wak tetap lawan GPS dalam pilihan raya negeri

Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud tidak disiasat atas dakwaan rasuah kerana tiada laporan ke atasnya telah meletakkan DAP Sarawak dalam keadaan sukar.

Ini kerana Taib merupakan subjek utama dalam penentangan mereka terhadap BN negeri itu.

Bagi Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, mereka tetap akan berkempen menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) - gabungan baru untuk bekas parti komponen BN - pada pilihan raya negeri (PRN) memandangkan ia bukan anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Pada masa ini GPS bukan dalam HARAPAN, mereka hanya BN 2.0. Maka kita pasti akan melawan mereka (dalam PRN akan datang).

"Untuk tiga tahun seterusnya, undi rakyat Sarawak bergantung kepada pencapaian kerajaan pusat. Kita patut lebih tumpu dalam soal melaksanakan janji-janji kita (berbanding soal GPS)," katanya kepada pemberita selepas majlis jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP di Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya sama ada beliau bimbang DAP Sarawak tidak lagi mempunyai kuasa seperti dulu, Chong berkata jika HARAPAN menunjukkan pencapaian yang baik, ia akan memberi keyakinan kepada rakyat negeri untuk menyokong gabungan itu pada PRN akan datang.

Sarawak perlu menjalankan PRN paling lewat pada 2021.

"Maka GPS - selaku BN 2.0 - akan berdepan kesukaran untuk mempertahankan kuasa mereka," katanya yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Berhubung pelantikannya ke jawatan itu walaupun sebelum ini dijanjikan kedudukan menteri penuh, Chong berkata beliau tidak terlalu memikirkan soal keuntungan peribadi.

Difahamkan CEC akan membuat resolusi berhubung pendirian parti dalam soal Chong dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming tidak dipilih sebagai menteri penuh, seperti yang dijanjikan setiausaha agung Lim Guan Eng sebelum PRU ke-14.

Ketika ditemui, Lim enggan mengulas perihal resolusi itu.

Lihat Komen
ADS