Paling Popular
Terkini

“Ibu segala kes” dan “bukti nyata undang-undang di negara ini tidak memilih bulu”. Itulah rumusan yang boleh dibuat di sebalik kekecohan yang berlaku pada sesi pertuduhan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Ia juga sudah tentu melakar peristiwa besar dan bersejarah apabila buat kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang bekas perdana menteri dihadapkan ke mahkamah.

Maka tidak hairanlah suasana sekitar kompleks mahkamah begitu bagaikan berlangsung satu pesta, bahkan perjalanan masuk ke kompleks mahkamah juga ‘istimewa’ ala VIP.

Pegawai polis trafik ditempatkan pada jarak antara 30 ke 50 meter dari persimpangan Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) masuk ke Jalan Sultan Haji Ahmad Shah sehinggalah ke persimpangan masuk kompleks mahkamah.

Tidak cukup dengan itu, puluhan pegawai polis berseragam biru mengawal keadaan sekitar perkarangan mahkamah baik dari aliran kenderaan keluar masuk hinggalah di dalam bangunan seperti lif dan laluan ke ruangan dalam kompleks mahkamah.

Anggota Pasukan Unit Tindakan Khas kemudiannya tampil membantu selepas penyokong bekas Perdana Menteri itu membuat kecoh sebaik sahaja Peguam Negara, Tommy Thomas mahu memulakan sidang akhbar.

Pertuduhan

Pertuduhan terhadap Najib dianggap kerajaan sebagai satu proses keadilan yang menjunjung tinggi nilai keadilan berdasarkan prinsip ‘rule of law’ yang terpakai ke atas setiap warga negara ini tanpa pengecualian kepada sesiapa pun.

Terdahulu Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya berhubung dana SRC International berjumlah RM 42 juta. Semua kes ini kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM1 juta yang dibayar secara ansuran sebanyak dua kali.

Mahkamah turut memutuskan perintah ‘gag order’ iaitu perintah mahkamah yang menyekat media membuat sebarang laporan perbincangan kes berkenaan.

Turut hadir bersama Najib di mahkamah adalah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak-anaknya Nooryana Najwa, Norashman dan Mohd Nazifuddin serta menantunya Daniyar Kessibayev.

Najib diwakili pasukan pembelaan seramai tujuh orang yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mankala Peguam Negara, Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan seramai 12 orang.

Ketibaan Najib

Ketibaan Najib pada pukul 8.20 pagi menjadi saat paling penting untuk dirakamkan semua petugas media.

Baik yang berkamera, berkamera video mahupun yang menggunakan telefon bimbit semuanya cuba mencari sudut terbaik rakaman setiap detik berharga ini.

Dengan wajah tenang, beliau yang mengenakan kemeja biru, bertali leher merah serta memakai kot beru gelap melangkah masuk ke perkarangan mahkamah tanpa digari sambil dikawal ketat pegawai polis.

Sempat juga beliau melemparkan senyuman kepada para petugas media! Laungan sokongan hampir 150 orang penyokong Najib yang turut hadir ke mahkamah sejak awal pagi menambahkan rencah kepada suasana.

Ada di antara mereka yang hadir dengan memakai pakaian bertulis kata-kata sokongan terhadap Najib melaungkan slogan “Hidup Najib!” berkali-kali untuk memberi sokongan moral kepada bekas perdana menteri itu.

Kecam AG

Malangnya sikap sesetengah penyokong Najib yang tidak menghormati mahkamah telah mencemar perjalanan proses dan turut menyusahkan petugas media yang menjalankan tugas.

Sebaik tamat prosiding mahkamah, Peguam Negara dijangka akan memberi kenyataan media di ruang lobi mahkamah. Petugas media yang mendapat maklumat awal bergegas ke di tempat yang ditetapkan.

Memandangkan lokasi sidang media dibuat di lobi, orang awam juga mula berkumpul di situ.

Atas sebab yang tidak diketahui, Peguam Negara hanya tiba di lokasi sidang media bersama pasukan pendakwaannya kira-kira dua jam selepas itu. Bayangkan begitu lama petugas media menunggu hingga ada yang berdiri selama dua jam supaya tidak terlepas saat penting liputan.

Malangnya sebaik sahaja sidang akhbar hendak dimulakan sekelompok orang awam mula melaungkan kata-kata provokasi seperti, "Melayulah woi,” "Hidup Melayu," dan ada juga yang mengecam Tommy Thomas dengan ungkapan berbaur kecaman seperti "Duduk Malaysia tapi tak reti cakap Bahasa Malaysia.”

Golongan ini menuntut Tommy bercakap dalam Bahasa Melayu dalam sidang media.

Walhal bagi petugas media bahasa penghantar yang digunakan bukanlah isu utama bagi mereka asalkan mereka dapat bahan berita yang diperlukan, itu sudah memadai.

Jadi kecoh

Keadaan menjadi tidak terkawal selepas itu bila laungan individu mula disahut oleh penyokong Najib yang hadir bertukar jadi sorakan. Gamat seluruh ruang legar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Melihat situasi semakin tidak terkawal, Peguam Negara mengambil keputusan untuk membatalkan sidang media.

Pihak polis kemudiannya terpaksa bertindak untuk mententeramkan keadaan apabila keadaan menjadi bising dan gamat dan ada yang hampir ditahan pihak polis sebelum dilepaskan atas budi bicara.

Penulis sempat dengar beberapa suara yang menyatakan tindakan mereka itu adalah hak mereka untuk bebas bersuara tetapi mereka juga sebenarnya mengganggu tugas pelbagai pihak termasuk peguam negara, pihak polis dan petugas media yang menjalankan tugas.

Perhatian media

Kes berprofil tinggi ini semestinya menarik perhatian pihak media dari seluruh dunia yang turut hadir bagi membuat liputan. Maka tidak hairanlah wakil pelbagai syarikat dan agensi berita tempatan dan antarabangsa hadir di sini.

Dianggarkan kira-kira 300 wakil media tempatan dan antarabangsa hadir sejak subuh hari bagi menjalankan tugas mereka.

Antara wakil media antarabangsa yang hadir termasuklah Associated Press (AP) yang berpusat di New York, Amerika Syarikat, Agence France-Presse (AFP) dari Perancis, Channel News Asia (CNA) dari Singapura, European Pressphoto Agency, The Guardian (UK), Al Jazeera (Qatar) dan CCTV (China).

Ada di antara mereka yang baru mendarat di KLIA tengah malam tadi dan pagi ini bergegas ke mahkamah untuk membuat liputan.

Penyokong Najib

Hampir 150 penyokong Najib hadir untuk memberikan sokongan kepada pemimpin kesayangan mereka itu termasuk bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri, dan Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

Ada juga kelompok penyokong yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan moral kepada Najib.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tumpat, Rosdi Razali dari Kelantan memberitahu Bernama kira-kira 100 orang anggota parti dari beberapa bahagian seperti Tumpat, Pasir Putih, Pasir Mas dan Pengkalan Cheopa berkonvoi ke Kuala Lumpur malam tadi.

Mereka turut memakai kemeja-t khas dengan tulisan ‘Maruah Melayu’ sebagai tanda solidariti terhadap Najib.

Manakala buat Mohd Izwan Zulkifli pula kehadirannya adalah kerana merasa Najib dianiaya dan segala pertuduhan yang dibuat adalah bermotifkan politik dan dendam.

Sementara itu wakil komuniti India yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar dari Taman Seri Gombak, Selangor berkata segala permasalahan melibatkan Najib sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik melalui perbincangan memandangkan beliau lebih 40 tahun terlibat dalam politik dan menyumbang kepada pembangunan negara.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS