Khaled: Bank Dunia dedah dolak dalih HARAPAN
Pengamatan pakar ekonomi Bank Dunia mendapati bahawa dakwaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kononnya hutang negara di luar kawalan adalah meleset, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Memetik ulasan Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr Richard Record, baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, pakar itu menerangkan bahawa Malaysia masih berisiko rendah kerana sebanyak 97.7 peratus daripada jumlah hutang negara adalah dalam denominasi ringgit.
Menurut beliau, ini turut bermakna yang risiko dari segi pendedahan kepada tukaran asing adalah terhad.
Record juga berkata, hampir 70 peratus daripada hutang negara adalah hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi tiga tahun.
“Malah, Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai ‘kisah kejayaan’ kerana mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi, walaupun hutang negara secara menyeluruh dan kasarnya dikatakan mencecah RM1 trilion,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Walau bagaimanapun, di sebalik keseluruhan fakta dan faktor itu, menurut pempin Umno berkenaan, kerajaan (HARAPAN) tidak memberikan gambaran yang tepat dan adil tentang kedudukan hutang negara dan risikonya.
Beliau berkata, naratif hutang negara yang kerap dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak menggambarkan keadaan ekonomi negara yang menyeluruh.
“Gambaran tentang hutang negara tanpa memasukkan unsur risiko rendah atau terhad ini adalah tidak lengkap dan boleh disifatkan tidak bertanggungjawab.
“Ia seolah-olah dengan sengaja ingin memburuk-burukkan imej kerajaan BN yang sebelum ini telah memartabatkan prestasi ekonomi sehingga diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Sepatutnya, kerajaan, khususnya kementerian kewangan, membentangkan dengan lebih menyeluruh dan mendalam akan kedudukan hutang negara serta seteruk manakah perkara tersebut dengan mengulas tentang risiko-risiko kebankrapan secara objektif dan realistik,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu juga menuduh pentadbiran HARAPAN membesar-besarkan jumlah hutang negara untuk mengelakkan atau menangguhkan pelaksanaan janji pilihan raya mereka.
Khaled berkata penubuhan Tabung Harapan Malaysia adalah satu lagi taktik untuk memperkukuhkan persepsi yang salah terhadap hutang negara.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tidak sepatutnya kerajaan membenar dan menyokong inisiatif yang boleh menakut-nakutkan sesetengah rakyat dengan gambaran ekonomi dan hutang yang tidak tepat.
“Kewujudan Tabung Harapan ini, sekalipun dibuat tanpa paksaan dan merupakan inisiatif rakyat sendiri, seolah-olah mencerminkan situasi hutang negara amat meruncing dan terlalu kritikal.
“Adalah tidak keterlaluan jika inisiatif ini boleh dilihat sebagai satu jalan pintas dan mudah pihak kerajaan persekutuan untuk mendapatkan hasil,” katanya.
Record membicarakan keadaan hutang Malaysia semasa membentangkan laporan pemantau Ekonomi Malaysia (MEM): Menavigasi Perubahan, Bank Dunia 2018, dua hari lalu.

