Ahli politik dan media dilihat antara institusi paling kurang dipercayai oleh orang ramai, menurut kaji selidik dijalankan oleh Centre For a Better Tomorrow (Cenbet).

Menurut badan itu ahli politik berada di kedudukan terakhir senarai kumpulan yang boleh dipercayai, dengan mendapat hanya 16 peratus keyakinan responden.

Berada di kedudukan kedua dari bawah ialah media arus perdana tempatan yang mendapat 23 peratus kepercayaan. Media dalam talian tempatan pula berada sedikit di atas iaitu 31 peratus.

Alasan utama untuk orang awam tidak meyakini kedua-dua kumpulan media itu dikaitkan dengan dakwaan organisasi tersebut "diganggu pihak luar".

Institusi ketiga yang paling tidak dipercayai ialah kerajaan persekutuan dengan hanya memperoleh 29 peratus keyakinan awam.

Kaji selidik Cenbet itu dijalankan antara 8 hingga 22 Feb lalu melibatkan 1,000 responden berusia antara 21 hingga 65 tahun di seluruh negara.

Untuk rekod kaji selidik itu dilangsungkan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14. Pada PRU itu Pakatan Harapan berjaya mengetepikan BN daripada kerajaan pusat.

Badan kehakiman juga diragui

Institusi lain yang disenaraikan di tempat lebih tinggi ialah majlis-majlis perbandaran yang mendapat 38 peratus, Polis Diraja Malaysia (44 peratus) dan mahkamah Malaysia (45 peratus).

Perkhidmatan yang dianggap tidak cekap menyumbang kepada responden menganggap pihak berkuasa tempatan sebagai badan yang kurang diyakini.

Mengenai PDRM, alasan utama yang menyumbang pandangan sebegitu ialah amalan rasuah, manakala sebahagian responden memberi keyakinan kepada pasukan keselamatan itu ialah atas kecekapan mereka melaksanakan tugas.

Kaji selidik sama juga menunjukkan separuh daripada responden percaya badan kehakiman negara adalah korup, manakala 12 peratus tidak bersetuju dengannya. Sebanyak 33 peratus pula tidak dapat memberikan keputusan.

Daripada semua badan yang ditanyakan Cenbet, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah satu-satunya institusi mendapat keyakinan lebih daripada separuh renponden, iaitu 60 peratus.

Asas untuk keyakinan itu ialah tahap disiplin serta latihan diterima anggota ATM. Bagi kumpulan sebaliknya, mereka meragui sikap tidak memihak kepada mana-mana parti politik diamalkan ATM.

[Baca berita penuh]