Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Riza dijangka hadir hari ke-4 untuk disoal siasat

Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka hadir bagi hari keempat berturut-turut di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

Riza hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu sejak Selasa lalu untuk diambil keterangannya berhubung dakwaan dana 1MDB disalurkan kepada syarikat produksi filem miliknya Red Granite Pictures.

Ketika berita ini ditulis, Riza sedang menjalani soal siasat SPRM sejak tiba 11 pagi tadi.

"Pegawai SPRM dijangka habis mengambil keterangannya pukul 9 malam nanti, dan sekiranya tidak cukup, dia perlu datang semula ke SPRM 10.30 pagi esok," kata sumber SPRM.

Selasa lalu, Riza disoal siasat hampir sembilan jam.

Semalam, dia hadir di ibu pejabat SPRM pukul 3 petang dan menjalani enam jam lagi soal siasat oleh suruhanjaya itu.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa AS$64 juta yang didakwa diseleweng dari dana 1MDB diberikan kepada Red Granite dan digunakan untuk membiayai kos penerbitan beberapa filem Hollywood - termasuk The Wolf of Wallstreet arahan Martin Scorsese.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada AS$238 juta yang didakwa diambil dari dana 1MDB melalui akaun yang dipercayai dikawal oleh Riza.

Syarikat itu bagaimanapun konsisten mendedahkan pihak mereka tidak tahu dana untuk membiayai filem adalah daripada penyelewengan.

Riza juga didakwa menggunakan dana 1MDB untuk membeli hartanah mewah daripada Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut DOJ, Riza sebelum ini mendakwa AS$94 juta dari dana 1MDB yang diterimanya adalah "hadiah".

Lihat Komen
ADS