Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan kedudukan ADUN Pujut diketahui 13 Julai
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Julai untuk memberi keputusannya berhubung rayuan Dewan Undangan Negeri Sarawak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Peguam Wong King Wei yang mewakili Dr Ting berkata notis tentang perkara itu telah dihantar melalui faksimile oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia kepada firma guamannya hari ini.

Pada 12 Mei tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak memutuskan melalui undi majoriti untuk menolak kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut kerana beliau memegang dua kerakyatan iaitu Australia dan Malaysia.

Keputusan itu dicapai apabila 70 ADUN mengundi menyokong usul menteri yang dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Datuk Seri Wong Soon Koh semasa persidangan DUN Sarawak tahun lepas. Sepuluh ADUN mengundi menentang.

Dr Ting mendapat kembali kedudukannya sebagai ADUN Pujut melalui keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun tahun lepas. Mahkamah itu juga mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan bagi kerusi kawasan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS