Guan Eng: Penggantungan ECRL, projek saluran paip tak sasar China
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata penggantungan Projek Rangkaian Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL), Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) bukanlah kerana menyasarkan China.
Lim menambah bahawa penggantungan ketiga-tiga projek itu yang dibina oleh syraikat milik China dibuat selepas mendapat arahan perdana menteri.
"Perdana menteri, selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, telah mengarahkan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), untuk mengeluarkan notis/arahan penggantungan kerja dan perkhidmatan kesemua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018.
"Notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
"Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Projek ECRL merupakan projek laluan kereta api yang dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang di Slenagan dan Pengkalan Kubor di Kelantan yang dianugerahkan kepada Communications Construction Company (CCCC) oleh BN tahun lalu.
Lim berkata kos sebenar bagi projek itu dijangka mencecah RM81 bilion, berbeza dengan jumlah RM55 bilion yang diumumkan oleh BN ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Jumlah itu mengambil kita kos pemilikan tanah dan faedah pinjaman ketika pembinaan projek.
Sementara itu, projek MPP dan TSGP diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 Nov 2016 dengan kos RM9.4 bilion.
Bagaimanapun Lim berkata kos RM9.4 bilion itu tidak mengambil kita pemilikan tanah memandangkan dua perjanjian dengan perunding pakar dan perjanjian penyelenggaraan bernilai RM1.7 bilion.

