Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Najib: Ayah sanggup derita jika itu bahagiakan rakyat Malaysia
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 11:16 PM
Dikemaskini: 3:57 PM

Anak lelaki Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nazifuddin Najib menyifatkan ayahnya yang pernah menjadi perdana menteri sanggup menderita jika itu yang membahagiakan rakyat Malaysia.

"Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau (Najib) sanggup menghadapi penderitaan itu," katanya melalui tulisan yang dimuat naik di Facebook.

Dalam luahan itu, Nazifuddin juga berterima kasih kepada rakan-rakan dan penyokong ayahnya. 

Selain mengecam serbuan polis di kediaman ayahnya, Nazifuddin juga menyifatkan Malaysia hari ini tidak jauh beza dengan Malaysia 30 tahun lalu ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, "pendakwaan berat sebelah" berlaku hari ini sama dengan "pendakwaan yang dahulu, cuma orangnya sahaja yang berbeza".

Berikut merupakan kenyataan penuh Nazifuddin:


Kepada semua rakan-rakan dan para penyokong, netizen dan semua orang yang telah sudi menghadirkan diri untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak dari dulu hingga sekarang, saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada anda semua; dengan seikhlas hati, terima kasih saya ucapkan.

Kepercayaan, sokongan dan kasih yang anda semua curahkan kepada kami banyak membantu dalam mengharungi dugaan.

Meskipun ia agak sukar, saya harus berkongsi perasaan saya dengan anda semua, khususnya yang telah menyuarakan kebimbangan mereka dan telah lama berbuat baik dengan keluarga kami.

Yang tertuduh di mahkamah hari ini pernah menjadi pemimpin nombor satu Malaysia, dan sepanjang perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14 beliau telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan fitnah tanpa henti.

Saya mengatakan perkara ini bukan untuk meraih simpati tetapi untuk menyatakan sesuatu yang benar untuk semua orang lihat dan fahami: Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau sanggup menghadapi penderitaan itu.

Dia adalah ayah saya, dan saya tahu orang Malaysia mengenali beliau jenis orang yang macam mana. Jika selama 42 tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan sebagai seorang penjahat, atau niatnya untuk mencuri wang rakyat semata-mata, saya tidak fikir beliau dapat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada tahun-tahun yang lalu.

‘Malaysia Baru’ hari ini tidak jauh berbeza dengan Malaysia lama hampir 30 tahun yang lalu. Pendakwaan secara berat sebelah yang berlaku hari ini serupa dengan yang dahulu, cuma orangnya sahaja yang berbeza, kebetulan perdana menteri yang masih sama.

Saya ingin menyuarakan hakikat ini: kita sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi sememangnya tidak matang dari segi politik, masih mengamalkan politik feudal yang penuh dengan dendam.

Serbuan polis yang terancang, dilihat bersama lori black maria di mana mereka datang beramai-ramai hanya untuk menyerang rumah bekas perdana menteri, pada waktu sahur di bulan Ramadan lagi.

Sementara itu, persidangan akhbar yang dibuat, tidak putus-putus semata-mata untuk menimbulkan lagi kemarahan orang ramai. Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran semasa siasatan sedang dijalankan? Atau adakah ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan lagi ayah saya?

Semalam saya berada di mahkamah, hanya untuk mengetahui bahawa semua itu tidak penting pun; malah apa didakwa hari ini adalah tuduhan pecah amanah dan menyalahguna jawatan berjumlah RM42 juta.

Sementara peguam sedang sibuk bincangkan nilai ikat jamin, saya terfikir: Logikkah jika seorang perdana menteri Malaysia boleh dibeli dengan hanya 42 juta ringgit Malaysia? Sekadar itu sahajakah nilai integritinya?

Jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa mahupun rasuah boleh dikaitkan dengan seorang mantan perdana menteri, maka beliau dan kesemua mantan perdana menteri sebelum ini haruslah bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang telah dialami sepanjang kepimpinan mereka.

Ayah saya dikenakan denda hari ini oleh seorang peguam negara yang dilantik oleh kerajaan baru meskipun ia mendapat tentangan daripada banyak pihak. Ini jelas menunjukkan keadaan politik semasa yang berpaksikan dendam semata-mata.

Sudah jelas kepada saya bahawa tunjang manifesto pembangkang sewaktu PRU ke-14 adalah untuk membawa perdana menteri yang dituduhnya korup ke muka pengadilan di mahkamah.

Inilah yang mereka janjikan, dalam apa jua cara sekalipun, mereka mesti tunaikan janji mereka secepat mungkin. Dalam hidup ini saya mempunyai cuma seorang bapa dan seorang ibu, tanpa mereka, tak wujudlah saya.

Walau apapun terjadi selepas ini, saya akan tetap setia bersama mereka. Saya akan terus berikan sokongan penuh saya kepada Najib kerana dia tetap ayah saya, dan dia pernah menjadi seorang pemimpin Malaysia tercinta.

Lihat Komen
ADS