Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid tangani isu hak asasi manusia, kepelbagaian agama

WAWANCARA | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang baru, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa selain mentadbir hal ehwal umum agama, beliau turut menyatakan hasrat untuk menangani isu yang sering mendapat perhatian masyarakat.

Antara isu berkenaan adalah pertukaran agama, hak asasi manusia serta kepelbagaian agama di negara ini.

Menurut Mujahid, isu-isu tersebut yang sering mencetuskan salah faham perlu mempunyai pandangan yang selaras.

"Saya juga akan tangani benda itu. Contohnya isu hak asasi manusia, isu kepelbagaian agama, kaum. Ia boleh cetus salah faham.

"Kita bukan sekadar pentadbiran Islam tetapi kita perlu lihat apa pandangan Islam, apa pandangan kerajaan hari ini supaya ia diselaraskan dengan pendirian kita.

"Orang akan minta pandangan menteri agama dan kita akan garap mengikut keperluan yang ada," ujar Mujahid dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Maslahat selesai ikut syariat

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mujahid yang merupakan naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, isu tertentu antaranya perebutan hak anak seperti yang berlaku terhadap M Indira Gandhi pula akan cuba diselesaikan mengikut pandangan pelbagai para ilmuan fekah dan tidak terikat kepada satu pandangan sahaja.

"(Isu Indira) lebih kepada konflik antara mahkamah syariah dan sivil. Ini bukan baru dan saya hanya mewarisi permasalahan ini.

"Kita tidak semestinya terikat dengan satu pandangan. Sekiranya ada isu perundangan atau maslahat di negara ini, mesti ada ruang untuk ahli fekah memberi pandangan.

"Jika (sesuatu perkara) tidak boleh (diselesaikan mengikut mazhab) Imam Syafie, maka kita boleh cuba yang lain asalkan dalam lingkungan syariat yang sama," ujar graduan dari Mesir itu lagi.

'Tidak mahu terburu-buru'

Bagaimanapun, menurut anak kepada mursyidul am PAS yang pertama allahyarham Yusof Rawa itu lagi, beliau tidak mahu terburu-buru dalam membuat perubahan terhadap portfolionya itu.

Jelasnya, meskipun rakyat mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) melakukan perubahan dalam sesebuah pentadbiran, namun katanya, ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Ini kerana, terdapat beberapa perkara yang perlu dikenalpasti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Tidak boleh tergesa-gesa. Kita perlu mempunyai gambaran apa masalah yang ada. Tidak semestinya semuanya perlu diubah.

"Saya tidak boleh buat keputusan yang tergesa-gesa. Perlu mendapatkan pandangan yang jelas dulu tentang betapa pentingnya perubahan agenda itu, juga proses yang nak dilakukan juga, dalam konteks apa," ujar anggota parlimen Parit Buntar itu.

Lihat Komen
ADS