Sejumlah RM204,393 telah dikumpulkan untuk tabung bantuan guaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak setakat jam 3.30 petang ini.

Kutipan derma itu dilancar semalam oleh sekumpulan penyokong yang diketuai oleh bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Katanya, derma itu sebagai tindak balas terhadap Najib yang tidak dapat membayar wang ikat jamin sepenuhnya.

Razlan juga dalam satu hantaran di twitter awal hari ini berkata, beliau menerima banyak mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tentang hasrat orang ramai untuk menyumbang sebagai membalas jasa baik bekas perdana menteri itu.

“Lebih 1,000 WhatsApp dan SMS dihantar kepada saya dengan slip sumbangan, semuanya mendoakan @NajibRazak cekal. Mereka semua ikhlas menyumbang, ada yang menangis menelefon saya, Najib banyak bantu orang kita kena bantu dia.

“Tuan penyumbang ini ada baki RM123 sahaja tapi menyumbang RM100 kepada @NajibRazak. Seikhlasnya rakyat terus menyayangi DS Najib teruskan berjuang,” ciapnya.

Pada hari Rabu, Najib mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tiga tuduhan jenayah pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan transaksi yang melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta. Najib membayar RM500,000 dan akan membayar bakinya pada Isnin ini.