Mahkamah batal saman bekas ketua JSJ KL terhadap Najib
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didakwa mengubah lafaz sumpah jawatannya sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2009.
Hakim Datuk Mohd Zaki Abd Wahab berkata saman itu semberono dan satu salah guna terhadap proses mahkamah.
Menurut peguam kedua-dua pihak, hakim juga berkata peristiwa itu berlaku pada 2009 dan Najib tidak lagi menjadi perdana menteri.
Mat Zain diwakili Adnan Ismail manakala Najib diwakili Nur Syafiqa Balqis Jaffri.
Keputusan itu dibuat di kamar hakim.
Mohd Zaki mengarahkan Mat Zain membayar RM5,000 kepada Najib sebagai kos.
Dalam saman yang difailkan Mac lalu itu, Mat Zain mendakwa Najib telah melafazkan sumpahnya secara salah dan tidak sama seperti apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009 yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan.
Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nur Shafiqa Balqish Jaffri, mewakili Najib dan peguam Adenan Ismail mewakili Mat Zain.
Nur Shafiqa ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya selepas mendapati saman difailkan plaintif (Mat Zain) bersifat akademik, remeh dan membazir masa mahkamah.
"Kejadian (angkat sumpah) yang berlaku adalah pada 2009. Oleh itu, saman plaintif (Mat Zain) tidak relevan berikutan Najib kini bukan lagi perdana menteri," katanya.
Nur Shafiqa berkata mahkamah turut membatalkan saman plaintif dan memerintahkannya membayar kos RM5,000 kepada defendan (Najib).
Najib memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan Mat Zain tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman berkenaan.
Pada 23 Mac lalu, Mat Zain, 68, memfailkan saman itu dengan menamakan Najib sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Mat Zain mendakwa bahawa upacara Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia yang dibuat Najib pada 3 April 2009 adalah tidak mengikut Perlembagaan dan dengan itu upacara tersebut adalah tidak sah dan terbatal.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa defendan tidak berkelayakan menjadi seorang perdana menteri atau menteri kewangan sejak 3 April 2009 selain mendakwa defendan juga menukar keseluruhan bentuk dan maksud asal Sumpah Jawatan dan Setia itu semasa upacara mengangkat sunpah.
Turut dipohon relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
- Bernama

