Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan jawatan timbalan menteri pertahanan akan diisi oleh seorang senator.

"Orang itu bukan wakil rakyat, kita perlu lantiknya sebagai senator terlebih dahulu," kata Mahathir pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Spekulasi bertiup kencang bahawa jawatan itu akan diisi oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, yang tewas dalam cubaanynya untuk merebut kerusi parlimen Ayer Hitam pada 9 Mei dengan hanya 303 undi.

Mahathir bagaimanapun berkata bahawa ketiadaan timbalan menteri sekarang tidak memberi kesan kepada mesyuarat kabinet.

Ini kerana, jika seorang menteri tidak hadir, portfolionya akan diwakili oleh rakan sejawatan lain, tetapi bukan oleh timbalan menteri.

Sebaliknya, peranan timbalan menteri menjadi penting untuk membantu menjawab soalan ketika Dewan Rakyat bersidang.

Mahathir bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.

Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat itu ialah mengenai pilihan raya kecil Sungai Kandis di Selangor, berikutan kematian penyandangnya, Shuhami Shafie.

Kerusi itu, kata Mahathir akan tetap dipertahankan oleh PKR. Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution, bagaimanapun, berkata, masih belum ada sebarang nama yang dikemukakan oleh PKR Selangor.

Shuhami, penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal, meninggal dunia pada Isnin lalu akibat barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Sungai Kandis pada Isnin ini.