Kementerian Pelajaran hari ini menafikan dakwaan menterinya ada mengeluarkan arahan bertulis atau lisan kepada sekolah-sekolah di Kelantan supaya memberi sumbangan kepada Tabung Harapan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan mendapati kempen kutipan derma yang dibuat di sekolah-sekolah seluruh Kelantan merupakan inisiatif Jabatan Pendidikan negeri Kelantan.

Bagaimanapun, pelancaran kutipan derma berkenaan telah pun dibatalkan oleh jabatan berkenaan.

"Dr Maszlee Malik, menteri pendidikan Malaysia tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis atau lisan kepada sekolah-sekolah khususnya di negeri Kelantan untuk memberikan sumbangan kepada Tabung Harapan sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial.

"Hasil siasatan yang dijalankan, ia adalah inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang melaksanaka kempen kutipan Tabung Harapan di sekolah-sekolah seluruh jajahan negeri Kelantan.

"Bagaimanapun, pelancaran kutipan tabung berkenaan telah dibatalkan oleh Jabatan Pendidikan negeri Kelantan," kata kenyataan itu.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Kutipan derma itu dijangkan berakhir pada 31 Ogos depan.