Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wisma Tok Guru: Mahkamah rayuan tolak injunksi Husam
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 3:51 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Mahkamah rayuan hari ini menolak rayuan injunksi Naib Presiden PAS Husam Musa bagi menghalang PAS daripada menggunakan Wisma Tok Guru, kata peguam PAS Wan Rohimi Wan Daud.

Rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak injunksi Husam pada 16 November 2017.

Timbalan Pengerusi lajnah undang-undang dan hak asasi manusia (Luham) PAS itu berkata, rayuan itu ditolak sebulat suara oleh hakim dengan kos sebanyak RM10,000.

"Hakim Datuk Nalinni Pathmanathan yang mengetuai panel tiga hakim antaranya memutuskan mahkamah tinggi membuat dapatan yang betul bahawa tuntutan itu tidak mempunyai isu untuk dibicarakan.

"Panel juga memutuskan sandaran tuntutan atas doktrin ekuiti ke atas fizikal bangunan itu tidak terpakai dalam kes ini," katanya dalam kenyataan.

Isu itu tercetus Oktober lalu apabila PAS menghantar notis mengosongkan bangunan itu yang dijadikan pusat khidmat DUN Salor dan pejabat AMANAH negeri.

Tapak itu asalnya dibeli bekas ADUN Salor allayarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dan menamakan isterinya sebagai pemilik. Namun ia dijual kepada Setiausaha Kerja PAS Mohd Yasin Yusoff pada harga RM700,000.

Husam pula berkata mendapat kebenaran daripada Rosli untuk menggunakan tapak itu melalui satu notis dan membawanya ke mahkamah.

Lihat Komen
ADS