Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: Sokong speaker HARAPAN bukan maksud bekerjasama
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 6:31 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menyokong pelantikan speaker dewan undangan negeri Kedah daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan bermaksud parti itu bekerjasama dengan HARAPAN.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya ia hanyalah bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar sekali gus para wakil rakyat dapat memulakan tugas dengan lebih sempurna untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Anggota Umno diminta bertenang kerana ianya bukanlah manifestasi sokongan mereka (ADUN BN) kepada kerajaan HARAPAN malah mereka masih setia kepada parti, ia hanyalah sokongan untuk melantik Speaker namun mereka masih merupakan pembangkang di DUN negeri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Padang Terap, di Padang Terap, Kedah, hari ini.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah semalam, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.

Tiga ADUN BN iaitu Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) menyatakan bahawa mereka memberi undi kepada calon HARAPAN demi kepentingan rakyat di negeri ini dan mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN).

Tindakan mereka itu mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Umno serta Pemuda Umno negeri Kedah yang menyifatkan sokongan itu tidak wajar dan dianggap tidak menitikberatkan sentimen Umno sekali gus boleh menghancurkan hati anggota dan pejuang parti tersebut.

Sementara itu, Mahdzir meminta anggota Umno memberi masa kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid untuk melantik pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri yang baharu berikutan beberapa isu terpaksa diselesaikan terlebih dahulu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS