Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penangkapan Jamal, Dr M ucap terima kasih pada Jokowi
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 8:36 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo berhubung penangkapan Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menurut portal Indonesia Kompas, penghargaan itu disampaikan menerusi sepucuk surat bertarikh 3 Julai lalu.

"Saya yakin kerja sama ini berlandaskan dasar ketetanggaan dan semangat saudara serumpun yang telah kita jalin sangat lama.

"Semoga keakraban ini dapat kita capai dalam semua sektor dan menjadi teladan bagi rakyat kedua negara," kata Mahathir dalam surat itu, seperti dipetik.

Jamal ditahan polis Indonesia pada 2 Julai lalu dan dihantar pulang ke Malaysia semalam.

PDRM memburu ketua Umno Sungai Besar itu apabila beliau menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Pada 1 Jun, waran dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan lari dari tahanan polis.

Beliau yang didakwa pada hari sama kepulangannya tidak dibenarkan ikat jamin dan ditahan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Lihat Komen
ADS