Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhirnya Riza selesai beri keterangan di SPRM
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 9:45 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya kira-kira pukul 7.35 malam hari ini setelah selesai memberi keterangan berhubung siasatan 1MDB selama empat hari berturut-turut.

Riza, 48, hari ini memberi keterangan di SPRM selama lapan jam.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.50 pagi sebelum dilihat keluar pada 1.10 tengah hari dan kembali memasuki bangunan berkenaan pada 2.30 petang.

Riza meninggalkan bangunan SPRM tanpa melayan cubaan pihak media yang menunggunya dengan mengerumuni kenderaan Audi hitam ketika kereta itu berhenti di lampu isyarat.

Hari ini merupakan hari keempat bagi - Riza yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perfileman berpangkalan di Los Angeles, AS - diambil keterangan berhubung perkara yang sama bermula pada Selasa.

Menurut sumber SPRM, buat masa ini tidak ada keperluan untuk memanggil semula Riza dalam masa terdekat.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB yang dipercayai menggunakan ratusan juta wang syarikat berkenaan untuk menghasilkan filem di Hollywood.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan suruhanjaya itu hanya mengambil keterangan Riza sahaja dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS