Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Ubah persepsi hanya Umno boleh lindungi Melayu

Sudah tiba masa orang Melayu mengubah persepsi bahawa hanya Umno yang boleh melindungi mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Orang Melayu kini harus meletakkan kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), untuk melindungi kepentingan mereka, kata Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU.

“Orang Melayu rasa mereka tidak selamat dalam negara kita kerana mereka rasa perlindungan hanya datangnya daripada Umno tetapi kini BERSATU akan menjadi pelindung menggantikan Umno.

“Kita tidak akan berkelakuan seperti Umno yang dahulu dihormati dan dimuliakan tetapi apabila jadi pemerintah mereka lupa perjuangan kepada bangsa dan agama,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian di hadapan lebih 20,000 hadirin pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BERSATU di Bagan Serai, Perak hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin serta timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan menteri besar Perak yang juga Pengerusi BERSATU Perak Ahmad Faizal Azumu.

Dalam ucapannya, Mahathir meminta orang ramai yang hadir supaya mendaftar sebagai anggota PPBM supaya parti itu dapat diperbesarkan serta terus kuat untuk membela nasib rakyat.

“Saya yakin ramai yang hadir hari ini merupakan petanda yang baik bagi BERSATU. Insha Allah pada masa hadapan kita menjadi lebih baik, besar dan kuat, bukan niat nak bersaing dengan parti lain (dalam Pakatan Harapan) tetapi hanya mahu sama kuat,” katanya.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata beliau gembira dengan sambutan Aidilfitri BERSATU yang mengalakkan dengan kehadiran ramai rakyat daripada berbilang kaum.

“Walaupun negara kita berbilang kaum, agama dan bangsa tetapi kita hidup dalam keadaan aman, selesa serta selamat tidak kira dalam apa jamuan (sambutan). Di negara lain apabila ada sedikit kelainan agama mereka berperang, membunuh dan merosakkan agama (lain),” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS