Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: Kementerian akan naikkan umur minimum berkahwin
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 11:10 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula prosedur operasi piawai (SOP) berhubung perkahwinan kanak-kanak.

Sebaliknya, jelas Dr Wan Azizah, kementeriannya sedang memperhalusi cadangan meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

"Perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina.

"Kesemua pihak terlibat sedang giat membincangkan mekanisme pelaksanaan sebelum ianya dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan kecaman Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengkritik kerajaan kerana dikatakan mahu mengetatkan undang-undang sedia ada berhubung perkahwinan kanak-kanak dan bukannya mahu menghalangnya.

Setiausaha politik Dr Wan Azizah, Rodziah Ismail sebelum ini dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata SOP perkahwinan kanak-kanak akan dikaji semula.

Dr Wan Azizah, dalam kenyataan medianya, berkata kementeriannya mengambil maklum kebimbangan yang dinyatakan Suhakam.

Dr Wan Azizah juga menegaskan kenyataan sama yang dikeluarkan 2 Julai lalu berhubung meningkatkan umur minimum untuk berkahwin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS